Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Abe PM Jepun paling lama berkhidmat

TOKYO, 21 NOV: Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berjanji akan melakukan segala usaha bagi menangani matlamat dasarnya seperti menamatkan deflasi, populasi menua dan penurunan kadar kelahiran selain menyemak semula Perlembagaan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau muncul sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Jepun pada Rabu, yang merupakan hari ke-2,887 perkhidmatannya sejak kembali berkuasa pada 2012 dan tempoh yang singkat antara 2006-2007.

“Saya masih mempunyai tempoh selama dua tahun sebagai presiden Parti Demokratik Liberal (LDP).
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan segala usaha bagi menangani matlamat dasar, yang mengingatkan saya pada masa saya baru bermula dan berasa begitu gugup seolah berjalan di atas ais yang tipis,” kata Abe kepada pemberita di pejabatnya.

Abe, 65, berkata terdapat beberapa dasar penting dalam agendanya yang perlu ditangani seperti menamatkan deflasi, populasi menua dan penurunan kadar kelahiran di negara itu selain menyelesaikan cabaran diplomatik yang tidak ditangani sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

“Selain itu, menyemak semula Perlembagaan merupakan agenda yang perlu ditangani,” kata Abe.

-BERNAMA


Pengarang :