Peserta solidariti masing-masing memegang poster dan menutup sebelah mata sebagai simbolik menyokong rakyat Palestin ketika berhimpun di hadapan Ibu Pejabat PBB Malaysia di Putrajaya pada 29 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

ABIM, CSOs serah memorandum sokong Palestin

PUTRAJAYA, 29 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Badan Masyarakat Madani (CSOs) menyatakan sokongan penuh dan mendukung perjuangan Palestin dalam menegakkan keadilan serta membebaskan diri daripada penjajahan rejim Zionis Israel.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia dizahirkan menerusi memorandum yang dihantar kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

“Pada tanggal 29 November ini, iaitu peringatan Hari Antarabangsa Solidariti bersama warga Palestin seperti digazetkan melalui Resolusi 32/40B oleh PBB.

“ABIM dan CSOs mengisytiharkan pendirian dan sikap berdiri teguh mendukung perjuangan Palestin.

“Kami juga menyatakan sokongan penuh terhadap komitmen PBB dalam mengambil langkah yang efektif dalam usaha mengembalikan keamanan di negara itu,” katanya.

Koordinator Residen PBB Malaysia, Stefan Riesner menyiram pokok zaitun sambil dipegang oleh Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz sebagai simbolik ketika Hari Solidariti Antarabangsa bersama warga palestin di di hadapan Ibu Pejabat PBB Malaysia di Putrajaya pada 29 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum itu kepada Koordinator Residen PBB, Stefan Priesner di Menara PJH, di sini.

Muhammad Faisal berkata, pihaknya turut menggariskan lima perkara kepada PBB untuk dilaksanakan secara tegas bagi mendukung perjuangan kebenaran dan keadilan Palestin.

Katanya, ia menerusi penguatkuasaan Resolusi 2334 iaitu bertanggungjawab mengambil tindakan keras yang setimpal ke atas rejim Israel bertepatan dengan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB yang disepakati pada 23 Disember 2016.

“Selain itu, mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa kerana keengganan negara itu mematuhi kepada perundangan dan menonjolkan sikap biadab mencabuli hukum antarabangsa.

“Tindakan lebih tegas dalam mempraktikkan resolusi PBB, mempertahankan hak warga Palestin khasnya hak beribadah secara aman di Masjid al-Aqsa dan mendokong serta membantu misi kemanusian oleh warga dunia,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa seluruh warga dunia untuk terus mengecam keras tindakan biadab dan tidak bertamadun oleh rejim Israel yang bertentangan dengan asas serta landasan hak asasi manusia.

“Kami juga menyeru seluruh warga Malaysia untuk terus bekerjasama dengan PBB dalam konteks isu Palestin ini dan berusaha secara bersama untuk mencari solusi berkait isu ini,” katanya.


Pengarang :