Tan Sri Dr Rais Yatim (dua, kanan) beramah mesra dengan bakal guru muda selepas merasmikan Wacana Ilmuan dan Seniman sempena Pertemuan Selat Melaka di Melaka pada 21 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

`Ada yang segan guna bahasa Melayu’ – Rais

MELAKA, 22 NOV: Budayawan dan sejarawan perlu mengkaji dan menilai semula sejarah dan sosiobudaya Melayu pada sebelum dan selepas kedatangan Islam di negara ini, kata Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, ini kerana banyak perkara khususnya aspek budaya diabaikan selepas kedatangan Islam sedangkan ia perlu dimartabatkan sebagai satu khazanah dan peninggalan sejarah tidak ternilai berikutan mempunyai kekuatan tersendiri melibatkan kepentingan masyarakat Melayu.

“Saya melihat (kajian) sejarah mesti mencantumkan sejarah pra-Islam dan selepas Islam yang mana kita perlu ambil yang terbaik seperti melibatkan budaya dan bahasa… Melayu hebat bukan hanya selepas abad ke-14.

“Kita jangan buang kekuatan yang kita ada sebelum (kedatangan) Islam…ia boleh diteroka untuk generasi akan datang kerana sebelum Islam, Melayu sudah agung, diiktiraf dan berjaya membina sosiobudaya yang kuat,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Wacana Ilmuan dan Seniman sempena Pertemuan Selat Melaka di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Indonesia merupakan antara negara yang boleh dijadikan contoh terbaik dalam usaha mengiktiraf sejarah dan sosiobudaya dan bahasa sebelum dan selepas kedatangan Islam di negara itu.

Katanya, rakyat negara itu amat menghormati tinggalan sejarah Candi Borobudur yang dibina pada abad ke-8 dengan memelihara serta mencantikkannya untuk generasi akan datang, berbeza dengan rakyat negara ini yang mana seolah-olah Melayu wujud selepas kedatangan Islam.

Rais berkata, dari aspek bahasa pula, penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tidak mencampur-adukkannya dengan perkataan bahasa Inggeris perlu ditekankan dalam kalangan rakyat di negara ini khususnya bangsa Melayu.

Beliau berkata, secara dasarnya empat peratus perkataan yang digunakan masyarakat di negara ini dalam satu ayat bahasa Melayu menggunakan perkataan bahasa Inggeris dan ia secara tidak langsung merosakkan keaslian bahasa ibunda yang mempunyai banyak pilihan perkataan untuk digunakan.

“Ada dalam kalangan kita segan hendak menggunakan perkataan bahasa Melayu, misalnya ‘nanti saya call ya’ kenapa kita tidak guna ‘nanti saya panggil ya’ atau ‘nanti kita lunch ya’ daripada ‘nanti kita makan tengah hari ya’,” katanya.

Beliau berkata, peranan memartabatkan bahasa Melayu memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak antaranya warga pendidik, individu dan juga pemimpin di negara ini.

Katanya, pemimpin negara perlu menutur atau berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan betul dan lebih baik kerana mereka adalah contoh terdekat dalam kalangan rakyat.

– BERNAMA


Pengarang :