Ir. Izham Hashim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

ADN mahu 30 peratus tanah terbiar Ijok diusahakan

SHAH ALAM, 13 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad memohon supaya 30 peratus tanah terbiar di kawasannya diusahakan menerusi portfolio Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor.

Katanya, rata-rata pemilik tanah terbiar berkenaan semakin berusia menyebabkan mereka tidak lagi mampu mengusahakan.

“Jadi saya mahu tahu langkah Kerajaan Negeri mengenai status tanah terbiar di sini, apakah kerajaan mempunyai hasrat untuk membangunkan tanah berkenaan bagi menjana industri agro?,” katanya.

Idris (PAKATAN-Ijok) berkata demikian ketika sesi soalan tambahan pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu, EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada orang awam yang berminat untuk membangunkan tanah terbiar.

“Tetapi kita menghadapi masalah apabila tanah berkenaan berjaya mengeluarkan hasil, pemilik asal secara tiba-tiba mahu mengambil tanah itu semula walaupun ada perjanjian.

“Ada kes yang saya dapati, penyewa tanah terbiar ini terpaksa berpindah banyak kali ke tempat lain dan sudah tentu ia menyusahkan,” katanya.

Bagaimanapun, Izham (PAKATAN-Pandan Indah) berkata, kerajaan negeri menerusi portfolionya akan melihat semula isu tanah terbiar ini sama ada ia perlu buat pewartaan atau sebagainya.


Pengarang :