Gunarajah R. George pada Program Pusat Hentian Penilaian Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya (One Stop Free Assessment For Learning Disabilities Children) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Unjur Batu, Klang pada 2 November 2019.
ADN SELANGOR

ADN Sentosa anjur program kenal pasti disleksia

KLANG, 2 NOV: Seramai 20 ahli terapi yang mempunyai kepakaran mengenalpasti masalah disleksia dalam kalangan kanak-kanak memberi khidmat percuma pada Program Pusat Hentian Penilaian Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya (One Stop Free Assessment For Learning Disabilities Children) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Unjur Batu, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Gunarajah R. George berkata, kesemua ahli terapi berkenaan dibawa ke SMK Unjur Batu sempena Sambutan Bulan Kesedaran Disleksia ketika ini.

Katanya, program itu diadakan setelah beliau menyedari terdapat segelintir ibu-bapa yang tiada pengalaman serta tidak tahu anak mereka mengalami masalah disleksia sehingga menyebabkan golongan itu ketinggalan dalam pelajaran.

“Pada masa sama, kos mengenalpasti disleksia juga mahal iaitu RM200 dan ke atas. Oleh sebab itu, saya cuba membawa ahli terapi ini secara percuma sekali gus membantu keluarga berpendapatan rendah mengesan masalah itu dalam kalangan anak-anak mereka.

“Program ini tidak diduga mendapat sambutan menggalakkan apabila ramai yang mengambil kesempatan membawa anak-anak membuat pemeriksaan untuk mengetahui masalah itu,” katanya kepada SelangorKini selepas program itu.

Hadir merasmikan program itu EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Gunaraj berkata, program ini tercetus idea daripada pengalaman isterinya, seorang guru dan pernah berdepan dengan kanak-kanak disleksia di sekolah.

“Daripada pengalaman isteri yang bertemu ramai murid yang langsung tidak boleh membaca yang kemudian mendapati ia berpunca daripada masalah disleksia saya menganjurkan program ini,” katanya.

Katanya, usaha mengesan anak-anak disleksia ini juga bertujuan memastikan mereka tidak ketinggalan bersama Selangor yang semakin maju.


Pengarang :