AGENSISELANGOR

Aduan restoran mamak tiada sijil halal paling banyak – JAIS

SHAH ALAM, 26 NOV: Aduan berhubung restoran mamak tidak mempunyai status halal adalah antara paling banyak diterima Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sepanjang tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali berkata, daripada 393 aduan diterima, 243 membabitkan restoran mamak.

Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati kesemua premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal, tambah memburukkan keadaan apabila kedai terbabit menggunakan bingkai gambar ayat-ayat al-Quran untuk mengaburi mata pelanggan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali (kanan) membuat lawatan ke stor penyimpanan selepas Majlis Perasmian Stor Penyimpanan Ekshibit bahagian pengurusan halal di Space U8 Mall pada 27 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ada restoran mamak yang tidak bertanggungjawab memasang bacaan ayat suci al-Quran serta menggunakan logo tulisan jawi. Ini sudah tentunya membuatkan orang Islam seperti kita keliru.

“Pihak kami juga mengesan ada premis yang memasang ayat pelaris, awalnya penguatkuasa kami sangkakan ia ayat al-Quran, rupanya adalah disebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Stor Ekshibit Bahagian Pengurusan Halal di Space U8, di sini, hari ini.

Hadir merasmikan ialah Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.

Mengulas lanjut, Wan Najmiah berkata, aduan berkaitan restoran mamak itu melonjak naik dipercayai selepas insiden sebuah restoran mamak di Shah Alam didapati tidak mempunyai sijil halal serta dimiliki oleh bukan Islam.

“Sebenarnya konsep halal yang turut ditekankan JAIS ialah halalan toyyiban, bukan sekadar halal tetapi premis makanan itu perlulah berada dalam keadaan bersih.

“Alhamdulillah masyarakat semakin prihatin dan aduan daripada mereka membantu JAIS untuk mengadakan operasi termasuk secara bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.


Pengarang :