AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ahli jawatankuasa masjid Selangor digesa contohi Masjid Quba’

SHAH ALAM, 23 NOV: Ahli jawatankuasa masjid di Selangor digesa supaya menjadikan Masjid Quba’ pada zaman Rasulullah SAW sebagai contoh dalam usaha mewujudkan keperibadian umat Islam yang dihormati serta diteladani.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, fungsi utama Masjid Quba’ yang dibawa Rasulullah SAW antaranya sebagai tempat beribadah, menimba ilmu, menyebarkan dakwah serta memberi khidmat kebajikan sosial kepada masyarakat.

Katanya, kewujudan nilai-nilai sedemikian mewujudkan masjid lebih cemerlang sekali gus menjadi penyumbang besar kepada kejayaan negara bangsa.

“Namun hari ini masjid seolah-olah kehilangan asas mengenai kewujudannya di kalangan masyarakat, sebahagiannya juga hilang fungsi dan makna Islam kepada penduduk setempat.

“Fungsi masjid yang dilaksanakan sama seperti Rasulullah SAW sudah tidak berjalan dengan ampuh, tepat dan konsisten. Kewujudannya tidak dirasai masyarakat kerana terlalu eksklusif.

“Masjid bagai melebarkan jarak antara roh dan jasad, seperti ada halangan, justeru jasad terbiar mati tanpa roh Islami,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata demikian ketika Multaqa Pengupayaan Kepimpinan Masjid Selangor 2019 bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Hazman Che Mohamad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Dakwah JAIS, Sabariah Salleh serta kira-kira 500 ahli jawankuasa masjid seluruh negeri.

Mengulas lanjut dalam ucapannya, Mohd Shahzihan berkata, kepimpinan masjid perlu yakin untuk memberdayakan institusi berkenaan supaya ianya mampu menjadi wilayah rahmah Islam yang sebenar.

“Masjid adalah tempat paling penting untuk membolehkan landskap kehidupan umat Islam berubah ke arah lebih positif.

“Kebaikan dan kebenaran akan memberi kesan langsung kepada peningkatan integriti, produktiviti serta perkhidmatan terbaik di kalangan masyarakat umum.

“Semoga Selangor mampu mengupayakan peranan masjid persis di zaman Rasulullah SAW sekali gus mempertingkatkan kesejateraan umat Islam seluruhnya di negeri ini,” katanya.


Pengarang :