Pelumba PETRONAS Sprint Yamaha Maju, Motor Ahmad Afif Amran (kiri) dan Md Akid Aziz ketika beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Sementara Dataran Seri Jempol pada 17 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Ahmad Afif juara keseluruhan CP150 Cub Prix Malaysia 2019

JEMPOL, 17 NOV: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing Ahmad Afif Amran, sah mempertahankan gelaran selaku ‘Raja Litar’ bagi kategori CP150, selepas berakhir pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019, di Dataran Seri Jempol, di sini, hari ini.

Pelumba berusia 24 tahun itu berjaya mengekalkan gelaran tersebut, selepas menduduki tempat kedua dalam saingan hari ini dan mengumpul keseluruhan 147 mata, sekali gus kedudukannya itu tidak dapat digugat pelumba lain dengan berbaki satu perlumbaan musim ini di Litar Sepang pada 7 dan 8 Disember depan.

Saingan pusingan ke-10 di Sepang itu bakal menyaksikan perebutan bagi kedudukan di tempat kedua antara bekas juara kategori CP115 musim 2017, Md Akid Aziz daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang mengutip 112 mata, dan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar, yang mengumpul 102 mata.

Ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan, Ahmad Afif amat berpuas hati dengan kejayaan itu, kerana tidak membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan musim ini.

“Sebenarnya, saya tidak membuat persiapan yang sebaiknya musim ini, namun hasil kerja keras semua dalam pasukan, saya berjaya meraih kejuaraan ini,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Pada pusingan kesembilan yang berlangsung perlumbaan 20 pusingan itu, Ahmad Afif menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 15 minit 06.511 saat, di belakang Md Akid yang mencatat masa 15:05.564s.

Rakan sepasukan Ahmad Afif, Md Aiman Thiruddin di kedudukan ketiga dengan ​​​​​​​catatan masa 15:07.494s. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pendahulu Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, mempamerkan tunggangan cemerlang, apabila menjarakkan saingan dengan pelumba lain sehingga ke garisan penamat.

Beliau berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dengan catatan 11:59.248s, menewaskan ​​​​​​​pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor Md Syafiq Rosli (12:00.230s), manakala pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing Md Adib Rosley, di tempat ketiga dengan masa 12:01.476s.

Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) pula mengungguli perlumbaan 12 pusingan kategori WIRA KBS selepas mencatat masa 9:44.355s, diikuti Awal M Al Fikri Yusni daripada Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing di tempat kedua (9:44.574s), dan pelumba WIRAMUDA V-FIERTECH Academy Racing, Akif Hakimi Zainuddin di kedudukan ketiga (9:45.393s)

– BERNAMA


Pengarang :