AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ahmad Zahid gagal cabar Akta SPRM, pencegahan wang haram

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dari segi perlembagaan, berhubung penerimaan bukti dokumen.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan permohonan Ahmad Zahid, pramatang memandangkan perbicaraan belum bermula.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

“Saya bersetuju dengan pendakwaan bahawa permohonan untuk mencabar Seksyen 41A Akta SPRM dan Seksyen 71 AMLA pada masa ini adalah pramatang kerana perbicaraan masih belum bermula.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan bantahan awal oleh pendakwaan dan menolak permohonan oleh pembelaan. Pendakwaan boleh memulakan perbicaraan,” kata hakim.

Hakim itu berkata persoalan berhubung bukti dokumen boleh dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa perbicaraan.

Terdahulu semasa mengemukakan bantahan awal, Raja Rozela berkata permohonan itu terlalu awal dan penyalahgunaan proses mahkamah memandangkan perbicaraan belum bermula.

Beliau berkata pemohon (Ahmad Zahid) boleh membuat permohonan itu dalam proses perbicaraan dan tidak akan menjejaskan kesnya.

“Memandangkan perbicaraan masih belum bermula, tidak ada isu langsung. Bagi membolehkan mahkamah memutuskan isu itu (kedua-dua seksyen itu dari segi perlembagaan), persoalan undang-undang perlu dibangkitkan dalam perbicaraan itu sendiri,” katanya.

Peguam utama Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata bantahan awal pendakwaan itu satu salah faham dan kedua-dua peruntukan itu tidak selaras dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami mengatakan bahawa ini adalah isu semasa dan kami akan menjadi prejudis sekiranya permohonan itu tidak didengar dan dipertimbangkan oleh mahkamah,” katanya.

Ahmad Zahid, 66, bekas timbalan perdana menteri, menghadapi 47 pertuduhan, 12 daripadanya adalah pecah amanah (CBT), lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi

-BERNAMA


Pengarang :