EXCOSELANGOR

Air Selangor perkenal alat jimat 10 peratus guna air

KAJANG, 10 NOV: Pengurusan Air Selangor mengambil langkah pro aktif bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan menjimatkan air.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, antara langkah diambil termasuk memperkenalkan bidal air bagi membantu pengguna menjimatkan penggunaan air sehingga 10 peratus.

“Dengan memasang bidal air, air akan keluar lebih stabil, tidak kuat sangat dan ini membantu menjimatkan air.

“Hari ini bidal air ini diedarkan secara percuma kepada orang ramai yang hadir dalam program ini tetapi selepas ini persatuan penduduk dan Ketua Kampung kena memohon secara terus di Pengurusan Air Selangor untuk diedarkan kepada penduduk kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Titisan Bernilai Peringkat Dewan Undangan Negeri Kajang di Dewan Orang Ramai Taman Mesra di sini, hari ini.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang berkata, permohonan boleh diajukan kepada Unit Penjimatan Air, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd atau di Wilayah Pengurusan Air Selangor berdekatan.

Bidal air dijangka diagih ke semua pejabat ADN seluruh Selangor menjelang tahun hadapan.

Alat penjimatan air itu dicipta hasil inovasi Pengurusan Air Selangor sendiri memandangkan terdapat keperluan untuk mengurangkan penggunaan air dalam kalangan pengguna.


Pengarang :