AGENDANASIONAL

AirAsia menang anugerah penerbangan kos rendah dunia kali ketujuh

MUSCAT, 29 NOV: AirAsia Bhd memenangi anugerah syarikat penerbangan kos rendah terkemuka dunia untuk tahun ketujuh berturut-turut oleh Grand Final World Travel Awards (WTA).

Syarikat penerbangan kos rendah yang berpangkalan di Malaysia itu muncul pemenang, mendahului syarikat penerbangan global lain termasuk Air Arabia, Easy Jet, Fast Jet, Fly Dubai, Flynas, Jet Blue, Jetstar Airways, Norway, Ryan Air, Southwest Airlines serta West Air.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia mendapat tempat teratas dalam kategori itu selepas menerima undi paling banyak daripada pelancong dan profesional industri, mengatasi pesaingnya.

“Kami sangat teruja atas pengiktirafan sebagai juara dunia sekali lagi oleh pengamal industri dan pelancong,” katanya.

AirAsia juga membawa pulang anugerah krew kabin terbaik syarikat penerbangan kos rendah buat tahun ketiga berturut-turut.

Ketua Krew Kabin Kumpulan, Suhaila Hassan berkata, anugerah ini merupakan bukti dedikasi syarikat ke arah kecemerlangan perjalanan udara.

“Pengiktirafan ini datang ketika kami memperbaharu komitmen untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan, dengan penawaran perjalanan yang diperluas di airasia.com bagi menyediakan nilai yang lebih baik kepada tetamu serta memenuhi harapan mereka yang semakin meningkat,” katanya.

Suhaila yang telah bersama syarikat itu lebih 20 tahun, kini mengetuai hampir 6,000 krew kabin dalam keseluruhan kumpulan AirAsia.

“Kami hanya sebuah syarikat penerbangan kecil dua dekad lepas, dengan 30 krew kabin dan dua pesawat beroperasi di Malaysia. Sejak itu, kami telah berkembang dan merekrut krew kabin dari seluruh dunia, termasuk Australia, Brazil, Zambia dan Amerika Syarikat,” katanya.

Pada acara anugerah itu, Pengasas WTA, Graham E Cooke dalam ucapannya berkata, AirAsia terus menetapkan penanda aras untuk penerbangan kos rendah di Asia dan melepasinya.

“Dedikasinya untuk meningkatkan perkhidmatan tidak dapat ditandingi dan saya gembira kerana ia telah perakui oleh penumpang perdagangan dan awam,” katanya.

WTA ke-26 yang berlangsung di Muscat, Oman itu diiktiraf di seluruh dunia sebagai antara program berprestij, komprehensif dan khusus untuk industri pelancongan global.

– BERNAMA


Pengarang :