BUDAYA RENCANA

Aku boneka Aurora

Oleh Shahril Anuar

Jemari kerunyut itu terketar menguis-nguis tubuh  lembapku yang terkedang di atas aspal. Semalaman berembun, tiada siapa mempedulikan aku.

“Huh, comotnya!” Perempuan tua itu mencebir seraya menoleh sekeliling. Tampangnya tampak curiga. “Tapi, boleh cuci…” Dia terkernyih. Matanya  cerlang. Cepat-cepat aku dipungut lalu dikepit ke celah ketiak sebelum terhinggut-hinggut dia bangun melangkah ke arah basikal roda tiganya.

“Kau ikut aku balik.” Perempuan tua itu  merenungku beberapa ketika sebelum meletakkan aku ke dalam bakul bersama longgokan botol dan tin kosong.

Aku mahu Aurora!

Perempuan tua itu bergumam menyanyi kecil sebaik memulakan kayuhannya. Aku terlalu takut. Tetapi aku tahu, jeritanku mustahil didengar.

Sejak menjadi milik Aurora, hinggalah dilempar Mama dari dakapannya ketika kekecohan semalam, inilah pertama kali kami terpisah.

“Selamat hari jadi Aurora,” ucap lelaki yang  membeli aku. Seorang perempuan cantik duduk renggang di sebelahnya, tersenyum tawar.

“Terima kasih Papa… Mama!” Balas Aurora girang. Papa dan Mama berpaling ke arah bertentangan dengan wajah kaku.

“Suka, dapat anak patung baru?” Mama bangkit, duduk di sebelah Aurora.

“Bukan anak patung… Dekat tadika, cikgu cakap ini boneka.” Aurora semakin ralit membelek aku. Mama hanya mengekek pendek. Papa perlahan-lahan bangun meninggalkan ruang tamu.

Bermula hari itu, Aurora sering mengelek aku.  Selalu aku dikucup dan dipeluknya. Dan setiap kali itu, ada rasa haru menyerbu dadaku yang padat disumbat kekabu tiruan.

“Hai, Nea! Tengok ni. Boneka baru. Bukan anak  patung tau!” Aurora tersenyum; menampakkan sepasang lesung pipit di pipi gebunya.

Tidak pernah sekalipun aku melihat Nea. Tetapi setiap kali berseorangan, Aurora selalu berbual panjang dan tertawa bermain dengannya. Itulah tabiat ganjil Aurora. Mengapa dia perlukan teman lain? Tidakkah cukup aku menjadi kesayangannya? Alangkah baiknya jika aku boleh berbicara dengannya.

“Semalam, Papa dengan Mama gaduh lagi,” sungut Aurora tiba-tiba. Aku dipeluk semakin erat. Aku sendiri tidak tahu mengapa keributan sering terjadi setiap kali Papa pulang. Acap kali juga, aku dikendong Aurora untuk mengintai dari tingkat atas. Ketika jeritan Papa dan Mama bertingkah semakin bingar, Aurora akan meluru bersembunyi di bawah katilnya.

“Jangan takut ya, sayang… Aurora ada,” bisiknya, terketar mengusap kepalaku. Selalunya, hinggalah Aurora terlelap dan aku terlucut dari dakapannya, kehingaran dari bawah masih terdengar. Kasihan Aurora. Ingin sekali aku memujuknya.

“Mama selalu menangis,” keluh Aurora ke arah kerusi kosong di hadapannya. Beberapa ketika dia akan meluahkan segala-galanya pada Nea. Memang Mama selalu sedih. Tetapi, ketika Aurora ke sekolah, aku selalu melihat Mama gembira.

“Aku rasa dia dah makin hilang sabar,” kata Mama. Tersenyum ke arah lelaki yang selalu datang menemuinya pada waktu siang.

“Ya, tapi berapa lama lagi?” Sela lelaki itu. “Kau juga yang cakap, dia dah tak ada hati dengan kau!”

“Memanglah… Aku tahu orang tua tu main kayu tiga. Tapi, aku tak boleh minta cerai… Kalau tidak, satu sen pun aku tak dapat.” Mama mengerling ke arahku yang terbujur di sebelahnya. Hujung kuku berwarnanya mula memintal-mintal tocangku.

“Dia pun tak akan mudah lepaskan aku. Bukan sikit duitnya yang lebur nanti. Tapi… Ah, sabarlah, ya sayang.” Mama cuba mencuit cuping telinga lelaki itu. Lelaki itu menepis. Segera bangun, mundar-mandir di depan Mama.

“Bagaimana kalau..?” Lelaki itu duduk semula merapati Mama. “Dia mati …” Hujung bibirnya terjungkit. “Kita bolot semuanya,” tokoknya lagi.

Perlahan-lahan Mama melentukkan kepala ke bahunya. Lelaki itu tidak membantah perbuatan Mama. Tertunduk memicingkan mata dengan kesepuluh hujung jari di dagu.

“Macam mana?” Mama memanggung kepala seraya tersenyum lebar.

“Kemalangan. Nantilah… Aku fikirkan jalannya.”

“Aku tahu kau memang bijak, sayang.” Mama merapatkan wajahnya ke arah lelaki itu. Lelaki itu  membalas renungan Mama dengan nafas yang mula melaju. Saat hidung kedua-duanya hampir bertemu, rakus Mama didorong berbaring sehingga  menghempap aku.

“Sekejap…,” suara Mama lirih. Terkocoh melepaskan aku dari tindihan tubuhnya. Segera aku  dilempar jauh hingga terlangkup mengucup permaidani tebal.

Papa semakin jarang pulang. Aurora bertambah murung dan terbiar. Hanya Mama yang semakin gembira merinci makarnya setiap kali lelaki itu datang.

“Mama nak belikan anak patung baru untuk Aurora,” kata Mama semalam, tetap mengemudi pemanduannya seraya cuba merentap aku dari pelukan Aurora.

“Lepas ni, tak payah lagi ingatkan Papa…”

“Tak mahu.”

“Tak payah main lagi dengan anak patung tu!”

“Aurora tak mahu boneka baru!” Aurora mula  tersedu.

“Ishkk… Kenapa degil ni?”

“Aurora nak Papa dengan Mama!”

“Diam!”

Aurora langsung meluru terceruk di kerusi  belakang.

Tiba-tiba telefon bimbit Mama berbunyi. “Hello,  sayang …” Suara Mama mendadak lunak. Hinggalah Aurora terlena, Mama tetap tidak mempedulikannya. Perbualannya panjang. Sehinggalah tiba di kawasan parkir, Mama tetap leka berbual. Terus turun tanpa menoleh lagi.

Entah berapa lama Aurora ditinggalkan. Hingga bibirnya membiru. Hangat tubuhnya mendingin kaku. Dadanya tidak lagi berombak.

X

Seharian aku dijemur dengan kedua-dua tangan dijepit bersebelahan sehelai kain batik buruk. Akhirnya aku diturunkan dari penyidai.

“Aku nak hadiahkan kau pada cucu aku.” Perempuan tua itu menyeringai menilik aku.

Aku tak mahu!

“Bukan cucu betul. Kesian… Dari kecik ayah dia dah  masuk jel. Tapi kau jangan risau… dia budak cerdik,” omelnya sambil menimbang-nimbang aku  di atas telapak tangan.

“Sekarang kau dah wangi. Dia mesti suka!”

Tidak, aku boneka Aurora!

Perempuan tua itu terus menjinjit aku. Terkedek-kedek melangkah menuruni tangga dan terus menyusuri jauh lorong suram di belakang bangunan buruk tempat tinggalnya.

“Ha, itu pun dia!” Nafasnya memburu. Semakin kejap menggenggam aku seiring langkahnya yang  menderas.

“Nea!” Laungnya ketika semakin hampir. Anak kecil  yang sedang termangu itu menoleh.

“Nea seorang?”

“Tak. Tadi ada Aurora.”

Dalam temaram, aku seakan-akan mengenali wajah  anak itu.

“Mak mana?”

“Tu, tengah kerja.”

Suaranya juga seperti aku kenali.

“Hmmm …” Perempuan tua itu melihat sayup ke arah susuk-susuk ramping yang disuluhi cahaya remang mentol merah – yang merembes dari pintu-pintu tangga yang ternganga.

“Untuk Nea… Suka tak?” Perempuan tua itu menunduk. Menyuakan aku betul-betul di hadapan  Nea. Bocah berlemuas itu tersenyum lebar.

Ya, wajahnya persis raut Aurora!

“Wah, boneka!” Mata Nea membundar. “Terima  kasih, nek!” Aku dipeluk seerat-eratnya.

Ada degup yang aku rasakan dalam tubuh Nea.  Degupan yang tak pernah aku rasakan, dalam tubuhku.


Pengarang :