Gambar hiasan. Grafik Selangorkini
AGENDANASIONAL

Aliran masuk dana asing meningkat

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Aliran masuk dana asing bersih ke pasaran ekuiti tempatan mencatatkan aliran meningkat, dengan aliran keluar terus menurun bulan ke bulan, menandakan kemungkinan berakhirnya aliran menurun pada tahun ini.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata berdasarkan corak itu, dijangka aliran masuk bersih pada minggu-minggu akan datang akan terus meningkat berikutan Bursa Malaysia telah mencecah paras terendah pada tahun ini.

“Pasaran saham telah menghampiri paras terendah bagi tahun ini, serta mencatat paras terendah dalam tempoh empat tahun pada 1,548.45 mata. Sejak itu pasaran telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan mencapai paras tertinggi pada Rabu dalam tempoh enam minggu pada paras 1,597.98,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan data yang direkodkan, Ogos mencatatkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM2.59 bilion dan jualan bersih terus berkurangan kepada RM550.01 juta pada September dan menyusut kepada RM484.55 juta pada Oktober.

Pada asas minggu ke minggu, dari Selasa hingga Khamis minggu ini yang singkat berikutan cuti umum, aliran masuk sebanyak RM3.46 juta dicatatkan berbanding RM302.36 juta minggu lepas.

Pada Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI ditutup pada 1,593.34, naik 23.34 mata berbanding semasa ditutup pada minggu lepas.

Mengenai kedudukan ringgit, Pong berkata ringgit kini diniagakan pada nilai 4.1700-4.1840 berbanding dolar US dan akan terus didagangkan dalam jajaran kecil pada minggu akan datang.

“Ini adalah pengecualian daripada kenaikan ringgit pada Jumaat apabila dolar US menurun dengan ketara berikutan penurunan kadar faedah bagi kali ketiga oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat semalam,” katanya.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata indeks pasaran akan terus dipengaruhi oleh perkembangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, walaupun Presiden AS Donald Trump menyatakan perjanjian antara dua kuasa besar ekonomi itu akan selesai tidak lama lagi.

“Di sebalik pengumuman bahawa Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping akan menandatangani perjanjian perdagangan fasa satu, pasaran masih tidak pasti dengan hasilnya,” katanya.

Mengenai minyak, beliau berkata penanda aras minyak mentah Brent masih bertahan, kekal antara AS$57 setong hingga AS$63 setong, yang akan memberi impak minimum kepada ringgit pada minggu depan.

Berhubung pertikaian perdagangan antara Malaysia dan India, beliau berkata pasaran tidak akan diheret terlalu lama, kerana kedua-dua negara akan mencari penyelesaian yang baik dalam masa terdekat.

Pada Jumaat, ringgit ditutup pada 4.1640/1670 berbanding dolar US.

Sepanjang minggu yang singkat, pasaran tempatan serta prestasi ringgit dipacu terutamanya oleh rundingan perdagangan AS-China, penurunan kadar faedah buat kali ketiga oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, serta data ekonomi AS.

Bagi minggu depan, pelabur akan memantau pengumuman Bank Negara Malaysia berhubung kadar dasar semalaman (OPR) pada Selasa (5 November), susulan penurunan kadar oleh Fed.

“Kami percaya BNM akan mengekalkan kadar OPR pada mesyuarat kali ini kerana data tempatan menunjukkan ekonomi dan penggunaan tempatan masih berada pada aliran kukuh,” kata penganalisis itu.

– BERNAMA


Pengarang :