AGENDAJENAYAH

Amah pulangkan semula barang kemas RM125,000 milik majikan

BUKIT MERTAJAM, 17 NOV: Pelbagai barangan kemas bernilai kira-kira RM125,000 milik sebuah keluarga yang dicuri dan dilarikan pembantu rumah Indonesia dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Perda, di sini, semalam ditemui semula di belakang kediaman mangsa tengah hari ini tadi.

Barangan kemas dan wang tunai RM2,600 itu ditemui dalam beg yang dilarikan wanita berkenaan kira-kira pukul 1.30 tengah hari dipercayai dihantar semula oleh suspek ekoran takut ditangkap polis selepas kejadian tersebut tular di media sosial.

Menurut pemilik rumah itu, Muhammed Abu Talib Mohamed Sagubar Ali, 33, beliau terdengar bunyi barang terjatuh di belakang rumah sebelum keluar melihat dan mendapati beg tangan berisi pelbagai barangan kemas tersebut berada di bahagian pintu belakang rumahnya.

“Kami semua terkejut dan semua barang kemas serta wang tunai yang dilarikan ada di dalam beg kecuali sebentuk cincin, namun saya tidak kisah asalkan barang lain berada dalam keadaan baik. Saya percaya pembantu rumah yang datang hantar semula sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhammed Abu Talib yang merupakan pengurus operasi sebuah syarikat logistik berkata, beliau terus menghubungi polis memaklumkan penemuan semula barangan kemas tersebut sebelum ia diambil pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua barangan kemas milik ibunya, Zeenathunisa Packer Meera Sahib, 64, itu disimpan lebih 10 tahun lepas dan sebahagiannya adalah hadiah daripada nenek serta ayahnya.

“Saya kagum dengan kesabaran ibu yang positif dengan kejadian ini. Selepas tahu barang kemasnya itu hilang, dia tidak panik malah positif dengan mengatakan barang itu akan dijumpai kembali termasuk ia akan dipulangkan suspek. Saya tak sangka dia begitu tenang dan hanya berdoa agar ia dijumpai kembali,” katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga telah memaafkan pembantu rumahnya itu dan menyerahkan siasatan kes itu kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Polis Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan penemuan semula barang kemas tersebut dan berkata, usaha mengesan wanita Indonesia berkenaan giat dijalankan.

“Polis percaya wanita itu tidak lari jauh dan kemungkinan masih berada di sekitar daerah ini sahaja. Usaha memburunya giat dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian 9 pagi semalam, seorang pembantu rumah warga Indonesia melarikan wang tunai RM2,600 dan barang kemas milik majikannya bernilai RM125,000 dari sebuah rumah di Bandar Perda dan kejadian itu disedari keluarga itu selepas pulang dari pasar pagi.

– BERNAMA


Pengarang :