AGENDANASIONAL

Ambrin kecewa laporan audit 1MDB dipersoal

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau kecewa apabila laporan audit 1Malaysia Development Berhad disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) yang dimuktamadkan pada 2016 dipersoal.

Ambrin, 70, berkata kekecewaan itu dirasai semasa menghadiri mesyuarat penyelarasan pada 24 Februari 2016 yang diadakan di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Saya berasa sangat kecewa kerana banyak sebab. Semasa di bilik mesyuarat dengan orang berkenaan, terdapat banyak soalan berhubung laporan audit kami mengenai 1MDB yang pada masa itu dimuktamadkan.

“Kami bersedia mempertahankan laporan awal kami di prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB,” katanya.

Ambrin berkata demikian semasa pemeriksaan utama ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari keenam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata pasukan JAN juga tidak senang untuk menghapuskan isu dari laporan audit akhir 1MDB kerana mereka menghabiskan banyak masa mencari maklumat yang diperlukan, malah memberi kelonggaran kepada 1MDB dengan memberi mereka masa untuk menjawab pertanyaan oleh JAN dalam menyediakan laporan.

“Kekecewaan lain adalah bahawa mereka (yang hadir), semasa mesyuarat, kadang-kadang tidak memahami peranan JAN. Sebenarnya, JAN melihat perkara berdasarkan fakta dan fakta ini mesti disahkan dengan dokumen sokongan,” katanya.

Terdahulu, rakaman audio mengenai mesyuarat 24 Februari 2016 yang melibatkan bekas pegawai kerajaan tertinggi termasuk KSN, Ketua Audit Negara dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB yang membincangkan laporan audit 1MDB itu dimainkan di mahkamah hari ini .

Kepada soalan berdasarkan kandungan rakaman audio itu, Ambrin berkata bekas KSN memberitahu kandungan laporan audit 1MDB boleh menjejaskan nama baik perdana menteri (Najib).

Foto BERNAMA

Sri Ram: Transkip rakaman… “kalau ada complaint, susah untuk kita defence Najib. His name will be tarnish…it will impact…Apa yang kamu faham tentang perenggan ini?

Ambrin: Kerajaan bimbang tentang kandungan laporan audit kami dan perlu dipinda. Kerajaan juga bimbang laporan itu akan berputarbelitkan oleh pembangkang.

Sri Ram: Ini adalah kenyataan khusus Ali, bagi pihak kerajaan. Nama siapa sebenarnya yang beliau lindungi? Ambrin menjawab: “PM Najib”.

Semasa ditanya sama ada beliau bimbang dengan laporan tersebut, Ambrin berkata beliau tidak bimbang dengan laporan tersebut, dan bersedia mempertahankan penemuan JAN mengenai 1MDB sebelum prosiding PAC.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Januari depan.

-BERNAMA


Pengarang :