AGENDAAGENSISELANGOR

Amirudin harap PRK Tanjung Piai dimenangi PAKATAN

SHAH ALAM, 2 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan sokongannya terhadap calon Pakatan Harapan (PAKATAN) apabila beliau turun padang pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Johor hari ini.

Amirudin yang juga Pengerusi KEADILAN Selangor berkata, beliau bersama pimpinan PAKATAN akan memberi sokongan penuh kepada calon, Karmaine Sardini.

“Semoga kemenangan milik Pakatan Harapan, InsyaAllah,” tulisnya ringkas menerusi ruangan Twitternya, hari ini.

Turut sama dengan beliau ialah Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Hee Loy Sian dan Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Muhammad Hilman Idham.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon PAKATAN, Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon Bebas.

PAKATAN yang dalam misi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lalu, meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Karmaine, 66, manakala BN mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, untuk merampas kembali kerusi yang pernah beliau menangi pada PRU-12 dan PRU-13.

Turut mencuba nasib adalah parti Gerakan yang mencalonkan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38; Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, 56, dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock, 49, dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 43.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi


Pengarang :