Majlis Pusat Hentian Penilaian Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya (One Stop Free Assessment For Learning Disabilities Children) di Sekolah Menengah Kebangsaan Unjur Batu, Kalang pada 2 November 2019.
EXCOSELANGOR

Anak-anak istimewa boleh dihantar ke taska biasa

SHAH ALAM, 2 NOV: Selangor menyasarkan kesemua taska di negeri ini mampu menerima murid dalam kalangan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) menjelang hujung tahun ini, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya , ini bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa lebih senang menempatkan anak mereka di taska yang menyediakan kemudahan bagi menjaga anak-anak berkenaan.

“Sebagai contoh mungkin ada di antara mereka yang duduk di Sabak Bernam tetapi taska khas yang mengambil anak OKU hanya di Shah Alam, sudah tentu ia menyusahkan.

“Oleh itu, sekiranya kebanyakan taska sudah mempunyai guru yang mampu menjaga anak khas ini, ibu bapa berasa lega kerana anak mereka berpeluang belajar sama seperti anak-anak normal lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pusat Hentian Penilaian Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya (One Stop Free Assessment For Learning Disabilities Children) di Sekolah Menengah Kebangsaan Unjur Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Sentosa, Gunarajah R. George serta hampir 300 peserta yang terdiri daripada pakar terapi serta kanak-kanak istimewa.

Mariah berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri melaksanakan Program Rintis Shadow Teacher atau Pengasuhan Anak-Anak Istimewa di taska biasa (Cikgu AnIS) dengan pengasuh dan guru diberi latihan pendidikan menjaga kanak-kanak yang memerlukan penjagaan khas.

“Setakat ini, seramai 736 orang Cikgu AnIS telah mengikuti latihan dan 368 buah taska telah mempunyai guru-guru AnIS terlatih manakala seramai 256 anak-anak istimewa telah didaftarkan di bawah jagaan taska-taska terbabit.

“Sehubungan itu, bagi tahun 2020, Kursus Latihan Cikgu AnIS akan diteruskan dengan peruntukan RM500,000 sebagai inisiatif dan sokongan Kerajaan Negeri terhadap keperluan golongan berkenaan,” katanya.


Pengarang :