Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Selangor di Hotel Acapella, Seksyen 13, Shah Alam pada 16 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Anugerah Kampung Tradisi jadi contoh kepada kampung lain

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM350,000 bagi menjayakan Pertandingan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan besar itu bertujuan mengiktiraf kampung tradisi terbaik di Selangor sekali gus dijadikan kampung contoh (role model) atau ‘mentor’ kepada kampung lain.

Katanya, ia juga sebagai usaha memajukan kampung yang ada serta memaksimumkan pengupayaan komuniti luar bandar khususnya dalam aspek kepimpinan sosial dan ekonomi kampung.

“Pelbagai kategori dipertandingkan iaitu Pertandingan Kampung Tradisi Terbaik, Anugerah Usahawan Desa Terbaik, Anugerah Inovasi Kampung Terbaik dan Rumah Tradisional Tercantik.

“Tahun ini, kaedah penilaian dan skop pertandingan disemak semula, diperluas dan disesuaikan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Selangor di Hotel Acapella, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Pertandingan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2019 dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Kategori Pinggir Bandar dan Kategori Luar Bandar.

“Ia dinilai berdasarkan ciri-ciri kedesaan dan kedudukan kampung serta empat kategori khas turut dipertandingkan iaitu Kepimpinan, Ekonomi, Inovasi dan Rumah Tradisional Terbaik Selangor.

“Pertandingan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik pada tahun ini sudah memasuki kali kelima penganjurannya selepas 2014, 2015, 2016 dan 2017.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua kampung, peserta termasuklah mereka yang bekerja di belakang tadbir dan mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Amirudin turut menasihatkan kampung yang tidak berjaya pada tahun ini, jangan berputus asa dan mereka boleh mencuba lagi pada tahun hadapan.

“Kepada kampung yang berjaya, diharapkan kejayaan anda dijadikan contoh serta pembakar semangat bagi kampung lain dan dapat memberikan panduan khususnya dalam aspek pengurusan kampung dan pembangunan ekonomi desa,” katanya.

Johan bagi Anugerah Kampung Tradisi Terbaik (Kategori Pinggir Bandar) dimenangi Kampung Perigi Nanas, Klang; naib juara, Kampung Padang Jawa, Petaling dan tempat ketiga, Kampung Sungai Tua Baharu, Gombak.

Bagi Kategori Luar Bandar, johan dimenangi Kampung Sungai Apong, Sabak Bernam; naib johan, Kampung Sijangkang, Kuala Langat dan tempat ketiga Kampung Kalong Tengah, Hulu Selangor.

Masing-masing berjaya membawa pulang RM25,000 bagi johan; RM15,000 naib juara dan tempat ketiga RM10,000.

Sementara itu, Pertndingan Persembahan Lagu “Kitakan Sekampung” pula johan dimenangi Kumpulan Suarasa Kuang, Gombak yang berjaya membawa pulang RM5,000; naib juara, Kumpulan Taming Sari, Sabak Bernam (RM4,000) dan tempat ketiga, Kumpulan Azuara Gemilang, Petaling (RM3,000).


Pengarang :