Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
AGENDANASIONAL

Anwar: Beri penyelesaian, bukan leteran

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pemimpin kerajaan Pakatan Harapan perlu lebih banyak turun ke lapangan bagi mendalami masalah rakyat termasuk golongan petani.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bagi memastikan perkara dibincangkan di peringkat kerajaan selari dengan permasalahan dihadapi golongan berkenaan.

“Kita dalam kerajaan harus berikan penyelesaian, jangan buat leteran. Orang letih dengar leteran. Kita kena kemukakan alternatif, kalau dah beri peluang dan ruang, tapi masih tak berhasil, barulah kita menegur dan kritik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya sektor pertanian dan penternakan perlu dibangunkan selari dengan usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara supaya golongan petani tidak terpinggir.

Anwar berkata dalam membangunkan sektor berkenaan, keperluan dan masalah dihadapi golongan petani perlu dikenal pasti untuk diambil tindakan, sekali gus membolehkan sektor itu berkembang maju.

Turut hadir pada program itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari.

Anwar berkata perkembangan teknologi pada masa ini mampu membantu perkembangan sektor pertanian dan penternakan berkembang lebih pesat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata Nafas dan NEKMAT harus berperanan menjadi rantaian hubungan antara kerajaan dan petani dalam memacu sektor berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :