ADNSELANGOR

AP permit sisa plastik bawah kuasa Persekutuan

SHAH ALAM, 5 NOV: Pengeluaran Permit Import (AP) Sisa Plastik di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan tidak membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, PBT hanya memproses syarat-syarat teknikal yang ada dalam bidang kuasanya sebelum memberikan sebarang kelulusan lesen perniagaan.

“Antara syarat-syarat teknikal ialah melibatkan kelulusan kebenaran merancang, kelulusan pelan bangunan dan memperolehi cadangan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu sebelum PBT mempertimbangkan kelulusan lesen perniagaan tersebut,” katanya.

Sze Han (PAKATAN-Kinrara) berkata demikian bagi menjawab soalan mulut yang dikemukakan, Ronnie Liu (PAKATAN-Sungai Pelek) di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri meletakkan syarat kepada PBT supaya mempertimbangkan permohonan lesen yang mempunyai kelulusan AP sisa plastik yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh JAS sahaja.

“Kerajaan Negeri melalui PBT dan agensi berkuasa berkaitan sememangnya menjalankan operasi bersepadu bagi menutup kilang plastik haram yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

“PBT juga berusaha memantau aktiviti ini di kawasan masing-masing daripada merebak ke kawasan baharu,” katanya.


Pengarang :