AGENDAGLOBAL

ASEAN, China setuju satu lagi eksesais maritim

BANGKOK, 17 NOV: ASEAN dan China bersetuju untuk mengadakan satu lagi eksesais maritim bagi memupuk perdamaian di rantau ini.

Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu berkata, kesemua 10 negara anggota ASEAN dan China pada prinsip bersama telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam latihan tentera laut pelbagai hala yang kedua itu.

“Kami bersetuju mengadakan eksesais maritim kali kedua itu bagaimanapun belum membincangkannya secara terperinci bila dan di mana ia akan diadakan.

“Eksesais bersama tentera laut merupakan satu lagi usaha oleh ASEAN dan China dalam mempastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Ditanya sama ada eksesais maritim itu akan menjadi acara tahunan, Mohamad berkata, “ianya belum diputuskan lagi.”

Terdahulu, Mohamad menghadiri Permukiman ASEAN+1(China).

Mohamad berada di Bangkok bagi menghadiri Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-13 (ADMM) dan ADMM-PLUS ke-6. Thailand merupakan pengerusi ASEAN tahun ini.

ADMM merupakan mesyuarat di kalangan menteri pertahanan 10 negara anggota ASEAN bagi membincangkan mekanisme pertananan dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ini serta mengeratkan kerjasama pertahanan strategik.

Eksesais maritim buat pertama kali diadakan pada tahun 2015.

Pada Oktober tahun lepas, ASEAN and China mengadakan latihan tentera laut yang pertama di pangkalan tentera laut Zhanjiang di selatan China.

Pada September tahun ini, ASEAN dan Amerika Syarikat mengadakan eksesais maritim pertama bermula dari Pangkalan Tentera Laut Sattahip di Thailand dan berakhir di Singapura.

Dipimpin bersama oleh Amerika Syarikat dan Tentera Laut Diraja Thai, eksesais itu merentasi perairan antarabangsa di Asia Tenggara termasuk Teluk Siam dan Laut China Selatan sebelum berakhir di Singapura.

– BERNAMA


Pengarang :