ACP Choo Lily. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Awasi lelaki tua `goda’ remaja perempuan di media sosial

PETALING JAYA, 30 NOV: Polis mendapati trend remaja perempuan menjadi mangsa `dibuli’ lelaki tua yang menyamar sebagai orang muda di media sosial berada ditahap membimbangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Polis (ACP) Choo Lily berkata, senario berkenaan bermula dengan remaja perempuan berkenaan akan berkenalan dengan lelaki menerusi media sosial.

“Menerusi perkenalan biasa remaja itu pada mulanya menghantar gambar-gambar biasa sebelum kemudian menghantar gambar-gambar tidak senonoh selepas tergoda dengan kata-kata lelaki dikenali di media sosial.

“Tindakan itu kemudian memburukkan keadaan apabila pasangan lelaki mengugut remaja perempuan itu menghantar lebih banyak gambar.

“Jika tidak diikuti, lelaki yang kebanyakannya orang tua tetapi menyamar sebagai orang muda mengugut untuk menyebar gambar-gambar tidak senonoh yang dihantar remaja perempuan sebelum itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum ‘Mengupas Isu Rogol di Malaysia: Adakah Malaysia Selamat untuk Wanita?, di Common Ground, Jaya One, di sini.

Justeru, Choo Lily menyarankan ibu bapa untuk memantau anak remaja masing-masing bagi mengetahui dengan siapa mereka berkawan serta berbual (chatting) di media sosial.

“Ibu bapa dan mangsa jangan segan untuk buat laporan polis dalam semua kes rogol, cabul atau kes dalam talian seperti itu.

“Polis mempunyai unit D11 di setiap daerah dan kita bersedia untuk membantu mangsa. Siasatan polis bukan sahaja untuk menyelesaikan kes tetapi kita mahukan hak mangsa terbela,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kes amang seksual fizikal juga dikesan semakin meningkat sejak 2017 iaitu sebanyak 255 kes, 591 (2018) dan 602 kes dilaporkan setakat Januari hingga Oktober tahun ini.

Manakala, bagi kes amang seksual bukan fizikal pula mencatatkan 18 kes pada 2018 dan 13 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Untuk rekod, kes rogol mencatatkan 1,224 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 1,327 kes tahun lalu.

“Manakala, sumbang mahram mencatatkan 249 sehingga Oktober tahun ini berbanding 258 kes tahun lalu,” katanya.

Turut dicatatkan kes perbuatan luar tabii sebanyak 242 hingga Oktober pada tahun ini berbanding 274 tahun lalu.


Pengarang :