AGENDANASIONAL

Banjir di Terengganu semakin buruk

KUALA TERENGGANU, 29 NOV: Situasi banjir di Terengganu bertambah buruk malam ini, apabila jumlah mangsa meningkat kepada 875 mangsa daripada 258 keluarga berbanding 445 mangsa daripada 142 keluarga pada petang tadi.

Peningkatan jumlah mangsa banjir itu berikutan dua lagi daerah turut dilanda banjir, iaitu Hulu Terengganu dan Dungun, berbanding hanya Setiu dan Besut sebelum ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata Besut merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 457 orang daripada 113 keluarga, yang kini berada di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam ini.

“Peningkatan berbanding 284 mangsa dari 72 keluarga di enam PPS itu adalah susulan empat lagi pembukaan PPS di daerah tersebut secara berperingkat, sejak lewat petang tadi.

“Di Setiu pula, jumlah mangsa terus meningkat kepada 362 orang daripada 131 keluarga berbanding 161 mangsa dari 70 keluarga sebelum ini. Kesemua mereka berada di enam PPS yang beroperasi setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Daerah terbaharu dilanda banjir iaitu Hulu Terengganu pula menempatkan 48 mangsa daripada 12 keluarga di tiga PPS daerah itu manakala hanya satu PPS yang beroperasi di Dungun setakat ini iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda di Hulu Dungun, yang menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.

Sehubungan itu, Che Adam menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa, terutamanya arahan untuk berpindah ke PPS yang telah ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa dan mengikuti perkembangan terkini banjir dari saluran maklumat yang sah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :