Barisan pengurusan Bank Islam bersama 100 pelajar dari tiga buah sekolah sekitar Banting yang menerima sumbangan pada program Jom Ke Sekolah peringkat wilayah tengah yang berlangsung di Kidzania Kuala Lumpur pada 12 November 2019.
AGENSISELANGOR

Bank Islam `kongsi rezeki’ dengan 100 pelajar Banting

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 100 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dari tiga buah sekolah di Banting semalam diraikan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menerusi program Jom Ke Sekolah semalam.

Mereka dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lang, SK Sungai Kelambu dan SK Bandar Banting di Banting dibawa meneroka pengalaman pembelajaran yang menghiburkan di taman tema terkenal, Kidzania Kuala Lumpur di Mutiara Damansara di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Encik Mohd Muazzam Mohamed berkata, pada program tersebut, para pelajar terpilih itu juga menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM300 setiap seorang iaitu dua set pakaian seragam, dua set baju sukan, beg dan peralatan alat tulis serta dua pasang kasut dan juga setokin.

Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam menyampaikan sumbangan set lengkap Jom Ke Sekolah kepada pelajar yang terpilih pada 12 November 2019.

Katanya, tanggungjawab korporat tersebut dilakukan di bawah jenama AMAL Ihtiman Pendidikan yang diadakan di lima wilayah di seluruh negara.

“Sejumlah RM312,800 diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif murni ini yang bertujuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi persekolahan tahun 2020.

“Peruntukan tersebut merangkumi peruntukan zakat sebanyak RM218,800 dan bakinya merupakan peruntukan inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Muazzam berkata, pada sesi persekolahan tahun hadapan seramai 736 pelajar kurang berkemampuan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah serta Negeri Sembilan dan Melaka terpilih menerima sumbangan di bawah jenama AMAL Ihtiman.

Menurut Encik Mohd Muazzam, inisiatif Jom ke Sekolah merupakan satu wadah bagi Bank Islam untuk berkongsi rezeki dan kemakmuran di kawasan-kawasan institusi kewangan itu beroperasi.


Pengarang :