Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantuan RM1,000 kepada nelayan bukan `memancing undi’

PONTIAN, 8 NOV:Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mendakwa bahawa Pakatan Harapan (PH) ‘memancing undi’ dengan menghulurkan bantuan wang tunai dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Timbalan Presiden PH itu menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab untuk memberikan bantuan kepada rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Itu (bantuan) bukan masalah, adakah sebab PRK, kerajaan kena berhenti bekerja (untuk rakyat), kerajaan mesti bekerja tak mengira masa, bila-bila masa dan bantuan-bantuan perlu disalurkan.

“Bersih (Bersih 2.0) kena lebih factual lah, nothing is perfect. Pendirian kita, kerajaan perlu beri apa saja bantuan tanpa mengira waktu sekalipun,” katanya pada sidang media PH di Bilik Gerakan Utama PH, di Rembah di sini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, Bersih 2.0 sepatutnya lebih adil dan melihat dengan fakta sebelum mengeluarkan dakwaan sedemikian.

Bersih 2.0 dalam satu kenyataan hari ini mendakwa tindakan PH menghulurkan bantuan wang tunai adalah menyalahi undang-undang serta tidak beretika yang merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam mengenai bantuan khas nelayan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang, bermula minggu hadapan.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyelar tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membangkitkan isu pembebasan tertuduh kes basikal lajak ketika berucap dalam Ceramah Perdana Barisan Nasional, di Rimba Terjun, di sini, malam tadi.

Muhyiddin menyifatkan tindakan bekas timbalan perdana menteri itu memperlekehkan institusi dan sistem kehakiman negara.

Dalam ceramah itu, Ahmad Zahid mempersoalkan tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017 serta mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini ditekan dan dinafikan hak mereka

Mengulas dakwaan itu, Muhyiddin berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dikaitkan dengan PRK Parlimen itu.

“Ini bukan soal undi polis, ini tentang pengundi di Tanjung Piai…soal (dakwaan polis dinafikan hak) itu jangan dikaitkan. Ya…ada isu mengatakan tindakan polis itu dan ini serta sebagainya…tapi saya, Menteri Dalam Negeri…saya pertahankan (polis) walaupun ada yang tak puas hati,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :