Sam Ke Ting dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 28 Oktober 2019 atas tuduhan menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Basikal lajak: Pendakwaan fail notis rayuan

JOHOR BAHRU, 10 NOV: Pihak pendakwaan hari ini menfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, dua tahun lalu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin berkata notis rayuan itu difailkan pihaknya selepas pihaknya mendapati dan percaya terdapat merit dalam menfailkan notis itu terhadap beberapa isu.

“Pendakwaan failkan notis rayuan terhadap keputusan majistret yang melepas dan membebaskan tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Kita percaya terdapatnya merit pada notis rayuan yang dibuat ini terutamanya dalam beberapa isu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan mahkamah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan Mohd Yusop Mohd Ali.

Pihak pendakwaraya memfailkan notis rayuan berkenaan di kaunter Mahkamah Sesyen / Majistret di sini kira-kira 9.30 pagi.

Amir turut berkata, antara isu dan merit berkaitan kes seperti soal identiti tertuduh, lokasi kejadian yang gelap dan tertuduh orang yang tidak biasa dengan laluan di lokasi terbabit.

“Majistret kata tentang identiti tertuduh itu tidak dibuktikan oleh pendakwaan, sedangkan tertuduh sendiri melalui peguam bela tidak pernah pertikai isu ini.

“Tentang dapatan menyatakan lokasi kejadian itu gelap, sedangkan kita sudah kemukakan bukti bahawa tempat itu pencahayaannya adalah cukup,”katanya.

Tambahnya, isu lain mengenai dapatan bahawa mana-mana orang yang tidak biasa dengan laluan dilaluinya dianggap tidak bersalah disifatkan sebagai bukan satu benda yang tepat.

Amir dalam pada itu, menafikan dakwaan bahawa notis rayuan dibuat atas desakan pihak keluarga mangsa atau pihak lain malah menyifatkan ia proses biasa terhadap sesuatu keputusan mahkamah.

“Tiada desakan mana-mana pihak dan ini adalah proses biasa. Kita failkan notis rayuan terlebih dahulu, kemudian menunggu alasan penghakiman daripada majistret.

“Selepas alasan penghakiman dikeluarkan, kita akan fail petisyen dan kemudian menunggu mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi proses selanjutnya,” katanya.

28 Oktober lalu, Majistret Siti Hajar Ali melepas dan membebaskan seorang jurujual, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017.

– BERNAMA


Pengarang :