AGENDANASIONAL

Beberapa kawasan di Perak, Kedah, Selangor masih digenangi air

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Beberapa kawasan di Perak, Kedah dan Selangor masih digenangi air dengan seramai 1,358 orang daripada 398 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8 pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa di daerah Kerian meningkat sedikit kepada 277 orang daripada 68 keluarga pagi ini berbanding 188 orang daripada 48 keluarga yang ditempatkan di dua PPS malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, seramai 149 mangsa daripada 35 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangaaan (SK) Changkat Lobak manakala 128 daripada 33 keluarga lagi berada di SK Parit Haji Aman bagi daerah itu.

“Keseluruhan mangsa banjir di Perak adalah seramai 585 orang daripada 153 keluarga yang ditempatkan di empat PPS pada pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata PPS di SK Changkat Jong, Hilir Perak menempatkan 231 mangsa daripada 66 keluarga manakala mangsa banjir di daerah Manjung masih kekal seramai 77 orang yang ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

Kawasan terlibat banjir tidak mengalami hujan lebat berterusan namun masih mengalami hujan dan cuaca mendung pada pagi ini.

Di KEDAH, mangsa banjir yang dipindahkan kekal 104 orang terdiri daripada 32 keluarga yang merupakan penduduk di Pendang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Cenderawasih.

Pegawai Daerah Pendang, merangkap Pengerusi Pengurusan Bencana daerah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata keadaan dilihat semakin beransur pulih walaupun sedikit hujan turun pagi ini.

“Paras Sungai Pendang semakin menurun kini pada paras 2.49 meter iaitu paras berjaga-jaga berbanding semalam yang berada pada paras amaran (2.6 meter),” katanya hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi banjir di daerah itu mendapati hampir semua jalan raya kini boleh dilalui ekoran paras air yang semakin surut.

Sebahagian penduduk yang dipindahkan juga mengambil peluang ini untuk melihat keadaan rumah dan melakukan pembersihan, namun ada juga yang menunggu keadaan benar-benar pulih sebelum berbuat demikian.

Di SELANGOR, mangsa banjir semakin berkurangan dengan hanya 669 mangsa ditempatkan di tiga PPS di sini berbanding 678 mangsa pada petang semalam.

Jurucakap Smart Selangor Command Center berkata PPS SK Parit Mahang masih mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi iaitu seramai 603 mangsa daripada 167 keluarga.

“PPS SK Ijok didiami seramai 62 mangsa daripada 45 keluarga dan PPS Balai JKKK Matang Pagar, Gombak dihuni oleh empat mangsa daripada sebuah keluarga,” kata jurucakap itu.

Tambahnya lagi, PPS di SK Jaya Setia dan SK Pasangan yang ditutup semalam kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga walaupun penghuninya telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan paras air yang telah surut.

Sementara itu, keadaan di Johor, Pulau Pinang dan Perlis pula pulih sepenuhnya dan semua pusat pemindahan telah ditutup.

-BERNAMA


Pengarang :