Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim. – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekas Hakim Besar Malaya dilantik pengerusi baharu Prasarana

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana, berkuat kuasa hari ini.

Prasarana Malaysia Bhd dalam kenyataan hari ini berkata, Zaharah mengisi kekosongan jawatan itu setelah Tan Sri Khalid Abu Bakar meletakkan jawatan pada 17 Ogos tahun lalu.

Dilahirkan di Johor Bahru, Johor pada 17 November 1952, Zaharah berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya, mula berkhidmat dalam bidang kehakiman dan perundangan pada 26 April 1977.

Setelah bersara daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Ogos 2004, dan bertugas di Bahagian Sivil, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, diikuti Bahagian Jenayah, Mahkamah Tinggi Shah Alam (1 Oktober 2004 – 27 Julai 2006).

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2006 dan ditempatkan di Bahagian Jenayah, Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan seterusnya di Bahagian Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (1 Jan 2009 – 13 April 2010).

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia pada 14 April 2010 dan kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia berkuat kuasa pada 16 Feb 2015. Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 17 Julai 2018.

Prasarana Malaysia Bhd ialah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang bertanggungjawab sebagai pemilik dan pengurus aset pengangkutan awam meliputi bas, perkhidmatan LRT/Monorel/MRT dan juga perkhidmatan feri Pulau Pinang.

– BERNAMA


Pengarang :