AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belia gerak pembaharuan negara – Maszlee

PARIS, 15 NOV: Kaum belia di Malaysia akan memainkan peranan besar dalam menyuarakan pandangan-pandangan mereka berhubung proses pembinaan negara, kata Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik.

“Kami sedang membentuk hala tuju negara dengan bantuan kaum belia. Suara mereka, pandangan mereka, mewakili sebahagian daripada penampilan kami sebagai sebuah negara,” katanya menerusi Kenyataan Nasional di Perbahasan Umum, sesi ke-40 Persidangan Am Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini, Khamis.

“Rakyat kami adalah sumbernya dan kaum belia adalah masa hadapannya, dan mereka ini adalah penggerak pembaharuan yang diharapkan, dan kepada merekalah kami sedang bentuk sistem pendidikan kami,” katanya.

Maszlee yang merupakan Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia bagi UNESCO berkata, dalam ucapan-ucapannya beliau sering mengetengahkan kenyataan bahawa pendidikan adalah untuk semua dan ia menjadi tanggungjawab setiap orang.

“Ia bagaikan satu gesaan bagi semua pemegang taruh, atau secara umumnya semua pihak di Malaysia, bagi memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kepada akses untuk pendidikan yang berkualiti, inklusif dan berfaedah, berjalan dengan lancar,” katanya.

Bagi membina laluan ke arah hasrat ini, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menyediakan satu ekosistem yang akan membolehkan semua pelajar tanpa mengira keupayaan, lokasi, mahupun latar belakang ekonomi; boleh merealisasikan potensi mereka.

“Ini terutama sekali bagi pendidikan inklusif yang melibatkan kalangan mereka daripada kelompok orang kelainan upaya, miskin, komuniti orang asli dan lain-lain komuniti yang dipinggirkan,” katanya.

Beliau seterusnya turut menggesa negara-negara anggota UNESCO untuk bekerjasama sebagai satu pasukan atau satu keluarga kemanusiaan, di bawah teraju UNESCO dan Matlamat Pembangunan Lestari, bagi mengatasi masalah global bersama.

Dalam perkembangan lain, Maszlee mengucapkan terima kasih kepada UNESCO dan juga Jawatankuasa Penasihat World Book Capital, yang menganugerahkan Kuala Lumpur dengan pengiktirafan World Book Capital 2020.

Acara Kuala Lumpur World Book Capital 2020 (KLWBC2020) akan menjadi antara acara yang akan menarik kunjungan ramai ke Malaysia, memandangkan tahun depan juga akan dilaksanakan Tahun Melawat Malaysia.

“Saya mengambil peluang ini untuk menjemput semua anggota untuk turut sama menyertai acara-acara ini dan menjemput semua untuk datang ke Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :