Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PAKATAN bersama Karmaine Sardini pada Majlis Perjumpaan Jentera PRK Parlimen Tanjung Piai di Penerok, Pontian pada 31 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bersatu yakin menang PRK Tanjung Piai – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 11 NOV: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan terdapat petanda ramai pengundi yang dahulu menyokong Barisan Nasional (BN) kini menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sedar tentang masalah di situ (Tanjung Piai), kita percaya kita dapat mengatasi masalah (di situ),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata masih ada penduduk Tanjung Piai yang menganggap beliau masih Presiden UMNO.

“Yang ni kita kena hadap. Saya bukan presiden UMNO lagi. Saya ni Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri PAKATAN.

“Saya akan turun berkempen pada Rabu ini (13 Nov) dan harap pada masa itu mereka tidak anggap saya presiden UMNO lagi,” katanya.

Ditanya adakah kehadirannya untuk berkempen di Tanjung Piai boleh menarik orang ramai untuk mendengar ceramah PAKATAN memandangkan pada masa ini, ceramah MCA dilihat lebih diterima masyarakat di sana, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak tahu, kita lihat saja hari selepas esok.”

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PAKATAN pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN Karmaine Sardini berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata jumlah keahlian Bersatu di seluruh negara semakin meningkat dan mencecah kira-kira 500,000 orang dengan keahlian paling tinggi direkodkan di Sabah.

-BERNAMA


Pengarang :