AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bomba kenal pasti enam kawasan berisiko mati lemas

NILAI, 17 Nov:Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti enam kawasan berisiko mati lemas di seluruh negara, tahun ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, ia membabitkan lima kawasan sungai di Kedah, Perak dan Sabah serta satu kawasan air terjun di Terengganu dengan kematian akibat lemas direkodkan seramai 14 orang di kawasan terbabit, sehingga Oktober lepas.

“Kadar kematian akibat lemas di seluruh negara setiap tahun adalah tiga atau empat kali ganda berbanding mangsa kebakaran sejak 2018.

“Kebanyakan mangsa lemas ini merupakan pelajar sekolah dan kebiasaannya mangsa adalah orang luar dan bukan penduduk tempatan di kawasan itu,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan Siswa Universiti Awam 2019 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini yang turut dihadiri Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Bagi 2016 hingga 2018, JBPM merekodkan sebanyak 15 kawasan dikenal pasti berisiko tinggi mati lemas membabitkan lima kawasan sungai di Sabah, Selangor dan Kelantan, empat kawasan air terjun di Selangor, Terengganu dan Pahang, tiga kawasan pantai di Kelantan dan Pulau Pinang dan tiga kawasan tasik, lombong dan empangan di Selangor, dengan kekerapan insiden mati lemas lebih daripada lima mangsa.

Selain itu, sebanyak 39 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan berisiko mati lemas membabitkan sembilan kawasan sungai di Kedah, Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu.

Lima kawasan air terjun di Terengganu, Selangor, Pahang dan Perak, lima kawasan tasik, lombong, empangan dan jambatan di Johor, Kuala Lumpur, Sarawak dan Perak serta 20 kawasan pantai di Terengganu, Negeri Sembilan, Sarawak, Kelantan, Perak, Sabah, Selangor dan Pahang, bagi tempoh 2016 hingga 2018.

Ia membabitkan kekerapan insiden mati lemas kurang daripada lima mangsa.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, 80 peratus daripada keseluruhan 15,000 anggota JBPM dibekukan cuti sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bermula bulan ini sehingga bulan hadapan.

Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata, program Bomba Bantuan Siswa Universiti Awam akan diperluaskan ke universiti awam yang lain dan setakat ini, selain USIM, universiti lain yang turut mempunyai pegawai bomba siswa adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Sarawak (UMS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Terdahulu, seramai 168 orang Pegawai Bantuan Siswa terdiri daripada 42 pelajar USIM, UiTM (51) dan UTHM (75) berjaya ditauliahkan setelah menjalani 120 jam kredit latihan kebombaan, iaitu selama tiga semester pengajian di universiti masing-masing.

Pada majlis itu, Mohamed Ridza, Pendaftar USIM Datuk Muhammad Haizuab Rozali, pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi USIM Prof Madya Dr Nurlida Basir dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UiTM Prof Dr Azizan Abdullah, menerima Pingat Kehormat JBPM yang disampaikan Mohammad Hamdan.

– BERNAMA


Pengarang :