AGENSISELANGOR

Bromeliad antara tarikan di ekspo UPM

SERDANG, 16 NOV: Peminat pokok hiasan berpeluang membeli dan melihat dengan lebih dekat pelbagai jenis tanaman sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen (EPPK) Universiti Pertanian Malaysia (UPM), yang berlangsung hingga 19 November ini.

Antara yang boleh ditemui ialah spesies pokok Bromeliad, iaitu sejenis tanaman unik dari hutan Amazon yang berbentuk seakan nenas.

Peniaga, Azlan Mohd Kham berkata, tumbuhan itu seringkali disalah erti apabila ramai yang menganggapnya seperti pokok plasik berikutan daunnya yang cantik.

Katanya ia terdiri daripada 3,000 spesies serta digemari orang ramai kerana mudah dijaga walaupun berasal dari Brazil.

“Pokok ini mempunyai bentuk daun yang menarik, variasi pelbagai warna khususnya pada daun.

“Selain mengeluarkan bunga yang cantik, kombinasi warna yang pelbagai pada tumbuhan ini membuatkan ia dilabel sebagai tumbuhan tropika yang unik dan eksotik .

“Kali ini kami bawa pelbagai jenis Bromeliad dari Negeri Sembilan yang berharga antara RM3 hingga RM10,000,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Antara spesies paling popular ialah Aechmea, Crypthantus, Neoregelia dan Tillandsia.

Azlan berkata Bromeliad mudah ditanam sama ada di dalam pasu atau dijadikan tanaman landskap sebagai hiasan di sesuatu kawasan atau bangunan.

“Penjagaannya juga mudah dan yang penting tanaman tidak bertakung air.

“Jadi kepada peminat tanaman Bromeliad bolehlah datang sama ada membeli ataupun berkongsi pengalaman serta idea mengenai spesies tumbuhan ini,” katanya.


Pengarang :