Datuk Mohd Azis Jamman (tengah) menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Penolong Kanan Komisioner Ibu Pejabat Penjara Malaysia Abd Kadir Jailani (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan Kolokium ‘Prison Reform’ di Ibu Pejabat Penjara Malaysia Kajang pada 22 November lalu. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Buat kajian berhubung penjara swasta

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Jabatan Penjara disaran membuat kajian berhubung ‘private prison’ atau penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata jabatan berkenaan boleh membuat kertas cadangan berhubung perkara itu jika dirasakan ia dapat dilaksanakan, dan kemudian kemukakan kepada kementerian untuk pertimbangan.

“Jika pihak kementerian merasakan ia (kertas cadangan) boleh dibawa kepada Kabinet, Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri akan membawanya ke Kabinet untuk dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Kolokium Pembaharuan Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang dekat sini, semalam.

Beliau berkata setakat ini, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.

Mohd Azis berkata ​​​​​​​beliau sempat melihat operasi penjara swasta semasa lawatannya ke United Kingdom baru-baru ini dan tidak memerlukan kerajaan untuk membina penjara baharu.

Sementara itu, mengulas berhubung langkah kerajaan bagi menaik taraf penjara lama di negara ini, Mohd Azis berkata tiga penjara iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan; Batu Gajah, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan akan ditambah baik bermula tahun hadapan.

Katanya tiga lagi penjara iaitu di Taiping, Perak; Muar, Johor dan Pulau Pinang yang juga perlu diselenggara turut mendapat perhatiannya.

“Struktur bangunan ini sudah terlalu lama dan kami akan mendapatkan peruntukan …jika boleh untuk tahun hadapan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :