AGENDANASIONAL

Budak dua tahun mati jatuh laut

LABUAN, 8 NOV: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 21 bulan mati lemas akibat terjatuh ke laut dari rumah perkampungan atas air di Sebor, Saguking, di sini, Rabu lalu.

Mayat Nor Saidah Abdul Said ditemui terapung di dalam air di bawah rumah oleh ibu bapanya kira-kira jam 11 malam ketika mereka mencarinya yang hilang dari bilik tidur rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika kejadian, ibu bapa kanak-kanak itu berada di ruang tamu manakala anak mereka berada di bilik tidur bersendirian.

“Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh melalui dinding papan lapis yang tidak kukuh di bilik tidur berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ibu bapa kanak-kanak itu cuba menyelamatkan Nor Saidah selepas menariknya keluar dari air tetapi usaha mereka tidak berhasil.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat lemas selepas mengalami komplikasi paru-paru.

– BERNAMA


Pengarang :