Elya Marini Darmin (kanan) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil. 11/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi di sini, hari ini. Foto ALIFF HAIKAL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Bulatan baharu atasi kesesakan di pusat bandar Klang

OLEH ALIFF HAIKAL

KLANG, 27 NOV: Masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar Klang, di sini bakal diatasi melalui pembinaan bulatan baharu dari Teluk Pulai ke Jambatan Kota.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Elya Marini Darmin berkata projek membabitkan kos RM350,000 itu dijangka siap Januari tahun depan bagi melancarkan aliran trafik ke pusat bandar.

“Sebanyak 30 peratus pengurangan trafik dianggar dapat diatasi melalui pembinaan bulatan terbabit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil. 11/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi di sini hari ini.

Katanya MPK turut giat menjalankan projek menaik taraf Stadium Kota Raja dan Heritage Walk Klang, masing-masing membabitkan kos RM4 juta serta RM2.079 juta.

Elya Marini berkata bagi Stadium Kota Raja, kerja menaik taraf yang dilaksanakan sejak 20 Oktober 2018 membabitkan pembinaan ‘granstand’ dan baik pulih padang.

“Proses itu dijangka siap sepenuhnya Disember ini dan dibuka kepada orang ramai pada penghujung Januari tahun depan.

“Sementara Heritage Walk yang mengandungi dua fasa sedang giat dijalankan membabitkan sebahagian kerja di Jalan Tengku Dhiauddin, Jalan Kota Raja dan sebahagian Jalan Dato Hamzah,” katanya.

“Kerja naik taraf turut membabitkan laluan pejalan kaki, mengecat bangunan seperti aktiviti melukis mural pada permukaan dinding di lorong belakang, memperbaiki longkang dan penurapan semula sebahagian jalan,” katanya.


Pengarang :