AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Bursa Malaysia memulakan hari pertama dagangan November dengan lebih rendah berikutan sentimen pasaran yang kurang memberangsangkan berikutan kebimbangan baharu membabitkan rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang menjejaskan minat pelabur terhadap ekuiti.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.99 mata kepada 1,595.99 daripada paras 1,597.98 sewaktu dagangan ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 2.25 mata lebih rendah kepada 1,595.73.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 127 berbanding 111 manakala 196 lain tidak berubah, 1,527 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 204.18 juta saham bernilai RM45.76 juta.

Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd berkata, aktiviti pengambilan untung dijangka berlaku pada hari ini.

Menurutnya, pasaran menyaksikan fasa bertenang selepas mencatat kenaikan sebanyak tiga peratus sejak beberapa minggu lalu dan indeks utama juga dalam lingkungan terlebih beli.

“Ketidakpastian baharu membabitkan perjanjian perdagangan AS-China juga menjadi antara alasan bagi aktiviti pengambilan untung.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan sebarang aktiviti keluar dari pasaran hanyalah kecil dengan paras sokongan sekitar 1,680 dan 1,572,” kata firma pembrokeran tersebut dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas kenaikan harga, Malacca Securities berkata ini mungkin dihadkan ke arah 1,615, diikuti tahap 1,623 sekiranya paras psikologi 1,600 tahap itu dapat dilepasi.

Saham berharga rendah juga dijangka menyaksikan belian secara bergilir-gilir, didorong oleh sentimen pasaran yang meningkat.

Namun, keadaan pasaran sebaliknya akan bertukar kepada berhati-hati ketika ia memasuki bulan pelaporan kewangan dengan pendapatan korporat secara amnya mungkin kurang memberangsangkan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung satu sen kepada RM8.61 manakala Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM7.49 dan RM5.27 dan Tenaga dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM13.86 dan RM5.70.

Bagaimanapun, Public Bank susut daripada keuntungan kukuhnya semalam apabila rugi 18 sen kepada RM20.12 selepas 25,700 saham saling berpindah tangan.

Bagi saham aktif, Sumatec, Multi Sports dan Priceworth masing-masing tidak berubah setengah sen kepada 1.5 sen dan lima sen, APFT turun setengah sen kepada satu sen manakala Bumi Armada menokok setengah sen kepada 45.5 sen.

Indeks FBM Emas susut 13.18 mata pada 11,292.55, Indeks FBMT 100 turun 12.52 mata kepada 11,103.56, FBM 70 rendah 10.02 mata kepada 13,940.23 dan Indeks Syariah FBM Emas merosot 2.86 mata kepada 11,826.92.

FBM Ace bagaimanapun naik 14.26 mata kepada 4,987.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 39.84 mata kepada 15,617.11 namun Indeks Perladangan naik 0.79 mata kepada 6,736.88, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.08 mata kepada 153.59.

-BERNAMA


Pengarang :