AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini susulan aktiviti jualan sederhana secara menyeluruh.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.26 mata kepada 1,584.92 berbanding 1,587.18 pada penutupan Rabu.

Pada pembukaan, indeks penanda aras dibuka 0.8 mata lebih tinggi pada 1,588.08.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, 130 kaunter mencatat keuntungan berbanding 103 kaunter rugi, manakala 183 kaunter tidak berubah, 1,598 tidak diniagakan dan 76 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 145.27 juta saham bernilai RM53.65 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, Bursa Malaysia dijangka terus berada dalam jajaran kecil dalam tempoh terdekat susulan proses pengukuhan asas yang berterusan menjelang aktiviti memperelok akaun hujung tahun dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

“Dengan siri pelaporan yang kini hampir berakhir, pasaran kini bergantung kepada pemangkin baharu domestik, dengan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China akan menjadi pemacu utama bagi penggiat pasaran, walaupun kami menjangkakan penyertaan pasaran mungkin lemah dalam minggu-minggu akan datang susulan cuti akhir tahun.

“Walaupun kami jangkakan trend jajaran kecil ini akan berterusan, kami juga berpendapat bahawa masih terdapat kecenderungan untuk kenaikan dengan indeks utama berusaha untuk menguji semula tahap 1,590 sebagai langkah pemulihan kecil,” katanya dalam nota hari ini.

Melaka Securities berkata banyak saham berharga rendah dan saham pasaran secara menyeluruh masih dalam fasa pengukuhan selepas mencatat keuntungan baru-baru ini dan akan berterusan memandangkan lebih banyak peserta pasaran menyimpan keuntungan masing-masing menjelang akhir tahun.

Bagi saham wajaran tinggi, TNB meningkat enam sen kepada RM13.62, Petronas Chemicals, IHH Healthcare, Maxis dan Axiata masing-masing tidak berubah pada RM7.13, RM5.40, RM5.41 dan RM4.26.

Maybank susut lima sen kepada RM8.53, Public Bank turun lapan sen kepada RM19.66, CIMB susut satu sen kepada RM5.24 manakala Digi turun tiga sen kepada RM4.58.

Bagi saham aktif, Yong Tai turun setengah sen kepada 22 sen, MCT menambah satu sen kepada 31 sen, Sapura Energy dan Iris Corp msing-msing tidak berubah pada 28 sen dan 15 sen, manakala Solarvest turun 3.5 sen kepada 78.5 sen, Bumi Armada susut 1.5 sen kepada 51 sen dan Nova MSC turun setengah sen kepada 6.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah melonjak 7.12 mata kepada 11,814.53, Indeks FBM Emas susut 1.57 mata kepada 11,246.49, FBM 70 turun 1.96 mata kepada 14,039.43, Indeks FBMT 100 merosot 12.40 mata kepada 11,062.99 manakala FBM Ace turun 6.05 mata kepada 4,820.1 .

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 3.08 mata kepada 7.127.2, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 34.92 mata kepada 15,420.13, dan Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.05 mata kepada 151.77 .

– BERNAMA


Pengarang :