AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada hari ini, dipacu oleh belian saham-saham berkaitan kewangan dan penjagaan kesihatan yang seiring dengan peningkatan prestasi beberapa saham di peringkat serantau.

Pada 9 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.22 mata kepada 1,610.95 berbanding 1,609.73 sewaktu ditutup pada 8 November lalu .

Sewaktu pasaran dibuka, indeks petunjuk utama itu naik 0.93 mata kepada 1,610.66

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 102 berbanding 54 manakala 182 lain tidak berubah, 1,655 tidak diniagakan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 73.96 juta saham bernilai RM24.12 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota ekuitinya hari ini berkata berikutan saham-saham terus terikat dalam belian pada saat-saat akhir, sentimen pasaran terbukti sebaliknya apabila masih ramai penggiat pasaran yang tidak dapat menentukan hala tuju dalam masa terdekat selepas indeks utama pulih daripada penurunan terendah dalam tempoh empat tahun, kira-kira sebulan lalu.

“Keuntungan yang dicatatkan itu baru-baru ini juga telah menyebabkan banyak saham berada dalam kategori belian berlebihan.

“Walaupun masih wujud perbezaan pendapat, keadaan cenderung meningkat di FBM KLCI berikutan bank-bank terus memberi reaksi terhadap langkah Bank Negara Malaysia menurunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) pada 8 November lalu yang dijangka meningkatkan keupayaan pinjaman bank.

“Selain itu, ketidaktentuan baharu membabitkan status rundingan dagangan AS-China juga boleh mempengaruhi hala tuju pasaran dalam masa terdekat dan menyebabkan aktiviti pengambilan untung sebelum dagangan ditutup,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, saham-saham yang berharga murah dan kaunter pasaran secara meluas juga pulih daripada kerugia harian pada 8 November lalu, sekali gus mungkin memaparkan prestasi saham berwajaran tinggi dalam tempoh terdekat ini.

“Kami masih melihat keuntungan yang dicatatkan akibat pengambilan untung berikutan sebahagian daripadanya mencatat belian berlebihan.”

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank untung satu sen kepada RM8.84, Public Bank menokok empat sen kepada RM19.98, Petronas Chemical meningkat lapan sen kepada RM7.73 manakala Genting Bhd naik dua sen kepada RM6.23.

Antara kaunter paling untung ialah Pharmaniaga yang meningkat 34 sen kepada RM2.60 walaupun terdapat laporan bahawa kerajaan akan menamatkan konsesinya bagi pembekalan ubat dan keperluan perubatan untuk Kementerian Kesihatan.

Sungei Bagan Rubber yang terlibat dalam perladangan, penanaman, dan penjualan tandan buah sawit segar untung 11 sen kepada RM2.95 manakala syarikat produk penjagaan diri Eng Kah naik lapan sen kepada 98 sen.

Saham cergas menyaksikan waran Green Packet menokok satu sen kepada 35 sen, Eduspec tidak berubah pada tiga sen manakala Sapura Energy turun setengah sen kepada 29 sen.

Indeks FBM Emas susut 11.31 mata kepada 11,384.41, Indeks FBMT 100 turun 11.67 mata kepada 11,193.93 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 6.54 mata kepada 11,887.24.

FBM Ace naik 14.75 mata kepada 4,995.16 namun FBM 70 susut 6.13 mata kepada 14,096.43.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.67 mata kepada 15,759.88, Indeks Perladangan berkurangan 23.52 mata kepada 6,851.63 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.26 mata kepada 155.21.

– BERNAMA


Pengarang :