AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia hampir tidak berubah pada pembukaan

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kedudukan saham di Bursa Malaysia hampir tidak berubah pada sesi dagangan awal ekoran aktiviti belian sederhana secara menyeluruh.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.92 mata kepada 1,584.79 berbanding 1,583.87 pada penutupan Selasa.

Pada pembukaan, indeks komposit meningkat 3.77 mata kepada 1,587.64.

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, 129 kaunter untung, 127 kaunter rugi, manakala 165 kaunter tidak berubah, 1,593 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 156.50 juta saham bernilai RM62.04 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, prospek jangka pendek dilihat semakin lemah dengan kecenderungan menurun dijangkakan kekal, manakala aktiviti jualan asing masih meluas, yang menjejaskan prestasi indeks utama dalam jangka masa terdekat.

Selain itu terdapat juga beberapa petunjuk menarik susulan laporan penyata kewangan semasa yang menunjuk pencapaian prestasi korporat yang bercampur-campur, dengan beberapa syarikat menunjukkan prestasi yang tinggi, katanya.

“Berdasarkan kedudukan ekuiti Malaysia yang masih lemah, kami melihat penurunan lanjut berbanding prestasi bursa serantau yang lebih baik apabila memberi reaksi positif terhadap potensi perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Oleh itu, indeks utama dijangka menguji semula paras sokongan 1,580, dan sokongan berikutnya berada pada tahap 1,575. Rintangan pada paras 1,590-1,600, diikuti tahap 1,610,” kata Malacca Securities dalam notanya hari ini.

Ia berkata, banyak kaunter berharga rendah secara menyeluruh kini berada pada fasa penurunan selepas kedudukan terlebih beli secara berlarutan.

“Kami juga menjangkakan kedudukan lemah ini akan lebih lama namun saham-saham ini berpotensi melalui fasa pengukuhan yang lebih baik berdasarkan aktiviti mengemas kini akaun bulan depan,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, TNB naik enam sen kepada RM13.46, Public Bank menambah dua sen kepada RM19.52, Hong Leong Bank meningkat 26 sen kepada RM17.10, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing kekal pada RM8.59 dan RM5.40, manakala Petronas Chemicals dan CIMB susut dua sen kepada RM7.03 dan RM5.25.

Bagi saham aktif, Iris Corp meningkat 1.5 sen kepada 15.5 sen, Solarvest naik tiga sen kepada 78.5 sen, Alam Maritim Resources menambah satu sen kepada 14 sen, Yong Tai meningkat setengah sen kepada 21 sen, Ekovest dan Next tidak berubah di 83 sen dan dua sen, manakala TDM turun satu sen kepada 20 sen.

Indeks FBM Emas menambah 22.47 mata kepada 14,102.12, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 16.53 mata kepada 11,829.35, Indeks FBM Emas menokok 8.51 mata kepada 11,258.04, Indeks FBMT 100 meningkat 9.08 mata kepada 11,073.93 manakala FBM Ace menambah 13.31 mata kepada 4,817.29.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 27.14 mata kepada 7,159.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.93 mata kepada 15,456.36, manakala Indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.41 mata kepada 152.02.

– BERNAMA


Pengarang :