AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat pada dagangan awal

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat semasa urus niaga dibuka pagi ini, dirangsang oleh sentimen perdagangan global yang positif dengan pengumuman Washington dan Beijing semalam untuk menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas barangan kedua-dua negara.

Pada 9.22 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.75 mata kepada 1,610.08 berbanding 1,609.33 semasa ditutup pada Khamis.

Bagaimanapun, semasa urus niaga dibuka, indeks utama dibuka 2.24 mata lebih rendah pada 1,607.09.

Kedudukan pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 234 berbanding 145 manakala 264 kaunter tidak berubah, 1,350 tidak diniagakan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 455.57 juta saham bernilai RM185.12 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota ekuitinya hari ini berkata, saham tempatan cenderung untuk meningkat lebih tinggi dalam waktu terdekat berikutan keadaan pasaran yang lebih positif dengan perjanjian perdagangan yang dijangka bakal dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Ini akan mengekalkan indeks utama terus berada dalam kedudukan terlebih beli berikutan sentimen positif dalam waktu terdekat akan menyediakan lebih banyak peluang perdagangan dalam waktu terdekat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya minat belian terhadap saham indeks utama masih agak kurang memberangsangkan berikutan penggiat asing kekal tidak memasuki pasaran.

“Kami percaya minat belian masih akan dihadkan oleh aktiviti pengambilan untung secara sederhana menjelang hujung minggu, dengan saham barisan rendah dan pasaran meluas akan terus bertambah kukuh, dipacu oleh prestasi indeks global yang positif,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, IHH naik empat sen kepada RM5.59, Maybank dan Digi masing-masing menokok tiga sen kepada RM8.78 dan RM4.72, CIMB dan Petronas Chemical masing-masing naik dua sen kepada RM5.32 dan RM7.62.

Bagi saham untung, Asid Selatan naik 15 sen kepada RM3.80, Vstecs naik 13 sen kepada RM1.19, UWC mengukuh 11 sen kepada RM2.65 dan Hong Leong Industries naik lapan sen kepada RM10.70.

Bagi saham aktif, Sapura Energy menokok 1.5 sen kepada 28.5 sen, Tanco naik satu sen kepada 6.5 sen, sementara DGB, NETX dan Mudajaya masing-masing naik setengah sen kepada 19 sen, 2.5 sen dan 35.5 sen, manakala bagi saham rugi, Kuala Lumpur Kepong turun 42 sen kepada RM22.50, PPB susut 20 sen kepada RM18.10 dan Hong Leong Financial turun 18 sen kepada RM17.30.

Indeks FBM Emas naik 9.79 mata kepada 11,399.17, Indeks FBMT 100 mengukuh 11.39 mata kepada 11,213.44 dan Indeks Syariah FBM Emas meningkat 3.38 mata kepada 11,923.19.

FBM Ace naik 21.68 kepada 5,008.46 dan FBM 70 meningkat 39.83 mata kepada 14,172.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 13.64 mata kepada 15,705.05, indeks Produk & Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.23 mata kepada 155.12 dan Indeks Perladangan turun 20.33 mata kepada 6,878.42.

– BERNAMA


Pengarang :