Persiapan akhir giat dilakukan sempena ASEAN-ROK Commemorative Summit 2019 di Pusat Konvensyen Busan (BEXCO) hari ini. Malaysia adalah antara negara ASEAN yang bakal menyertai persidangan dua hari itu bermula Isnin. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Busan siap sedia kendali sidang kemuncak khas

BUSAN, 23 NOV: Kenderaan pelbagai guna tanpa kendalian manusia, HR-Sherpa, akan menjadi sebahagian daripada pemantauan sistem keselamatan bagi Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Republik Korea 2019 yang akan diadakan di sini bermula 25 Nov.

Hr-Sherpa yang dibangunkan oleh Hyundai Rotem Co., pengeluar peralatan kilang dan sistem kereta api Korea Selatan, direka bentuk bagi menyokong pelbagai misi dan berupaya mengesan periuk api, kimia dan sistem tembakan senjata api; sistem senjata kawalan jauh, dron, alat pengawasan dan pengangkutan; dan juga sokongan perubatan kepada kakitangan pengangkutan.

Jurutera Penyelidikan Kanan Hyundai Rotem Kim GunKook semasa ditemui Bernama di sini berkata, ini merupakan kali pertama HR-Sherpa akan dikendalikan sejak dibangunkan pada April tahun lepas.

Busan kini sedang sibuk membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah kepada para pemimpin ASEAN, termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi sidang kemuncak khas itu, yang kemudiannya diikuti oleh Sidang Kemuncak Mekong-Republik Korea pertama.

Sistem keselamatan telah dipertingkatkan dan bandar raya itu dihiasi dengan beribu-ribu lampu diod pemancar cahaya (LED) yang memaparkan pencahayaan karya seni Busan serta bendera negara-negara ASEAN.

Sidang kemuncak kali ini yang memasuki tahun ketiganya – sebelum ini diadakan di Jeju dan Busan masing-masing pada 2009 dan 2014 – akan mengambil kira hubungan 30 tahun Korea Selatan dengan ASEAN dan kemajuannya ke arah saling meraih manfaat bersama.

Ia dijangka mengetengahkan Dasar Selatan Baharu Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, serta perbincangan mengenai keamanan di Semenanjung Korea dan di Asia Timur.

Sebagai bandar raya pelabuhan terbesar Korea Selatan, giliran Busan untuk menjadi tuan rumah bagi kali kedua secara simboliknya adalah penting kerana ia dikenali sebagai pintu masuk laluan laut ke ASEAN.

Pada 2018, perdagangan Korea Selatan dengan rantau ini mencecah US$160 bilion (US$1=RM4.17) — US$100 bilion dalam eksport dan US$60 bilion import, yang seterusnya menjadikan ASEAN sebagai rakan dagangan kedua terbesar negara itu.

Dr Mahathir dijadual tiba di Busan esok.

-BERNAMA


Pengarang :