SELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Casa De Cat gamit perhatian Cik Puan Sofie

SHAH ALAM, 17 NOV: Inisiatif penubuhan Casa De Cat diilhamkan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permasuri Norashikin menggamit perhatian isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Menerusi laman sosial Instagram, Selangor Royal Office berkongsi beberapa keping foto kunjungan mesra Cik Puan Sofie yang juga seorang pencinta haiwan ke teratak kucing berkenaan di sini, kelmarin.

Cik Puan Sofie mempunyai minat dan pandangan sama terhadap nasib haiwan terbiar sepertimana kempen Selangor Bebas Haiwan Terbiar (SFS) yang dilancarkan Tengku Permaisuri Norashikin untuk menangani isu berkaitan di Selangor.

Casa De Cat cetusan idea baginda untuk dijadikan sebuah kediaman yang menempatkan dan mengumpulkan kucing terbiar diselamatkan Tengku Permaisuri Norashikon sendiri.

Setakat ini, Casa De Cat dihuni lima ekor anak kucing, manakala 12 ekor lagi yang turut diselamatkan baginda dari jalanan, kini ditempatkan di beberapa lokasi berbeza.

Baginda yang juga Penaung Diraja program SFS kendalian Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) sebelum ini berhasrat mewujudkan sebuah lokasi yang mampu menjadi transit kepada kucing terbiar sebelum mereka diambil sebagai haiwan angkat.

Kempen SFS dan SPCA adalah bagi menggalakkan orang awam menghubungi persatuan terbabit untuk menangani isu haiwan terbiar dalam komuniti masing-masing dengan program tangkap, kembiri dan lepas yang bersubsidi.

Sehingga kini, kempen berkenaan berjaya mengumpul dana RM170,000 termasuk sumbangan daripada Yayasan Raja Muda Selangor berjumlah RM20,000.

Difahamkan, dana yang berjaya dikumpul hanya mampu digunakan untuk membiayai subsidi program kembiri bagi kira-kira 3,000 haiwan terbiar sahaja.

Selain program tangkap, kembiri dan lepas, SFS juga melobi untuk kerajaan tempatan turut mengamalkan cara yang lebih berperikemanusiaan dalam menangani isu haiwan terbiar berbanding cara sedia ada iaitu tangkap dan bunuh.


Pengarang :