ADNSELANGOR

Cemar sungai di Selangor, enam syarikat didenda RM90,000

SHAH ALAM, 4 NOV: Enam syarikat didenda sebanyak RM90,000 akibat mencemarkan sungai-sungai di negeri ini, demikian dedah EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil sejak 2013 hingga tahun ini ekoran tindakan pemilik syarikat yang terbabit melepaskan bahan buangan mengandungi minyak ke dalam sumber air tanpa kebenaran Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Pada 26 Jun 2019, sebuah premis juga telah dikenakan tindakan penahanan operasi selama dua minggu dan disita Majlis Perbandaran Kajang selama 39 hari.

“Sementara pada 28 September, pencemaran bau berlaku disebabkan individu tidak bertanggungjawab membuang ‘solvent’ dalam saluran paip pembentungan di kawasan perumahan Bandar Bukit Mahkota, sehingga kini suspek tidak dapat dikesan dan masih diteruskan pengesanan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Lau Weng San (PAKATAN – Banting) berhubung individu dan syarikat yang didakwa di mahkamah kerana mencemarkan sungai.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri melalui LUAS telah melaksanakan beberapa langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan tragedi pencemaran sungai berlaku termasuk menubuhkan Mesyuarat Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Katanya, tindakan penguatkuasaan, melaksana dan mengemaskini inventori punca pencemaran di Sungai Semenyih, Sungai Beranang dan Sungai Rinching juga dibuat berdasarkan kajian guna tanah dan inventori aktiviti di rizab sungai.

“Pada masa sama kita turut meningkatkan pengambilan kakitangan penguatkuasaan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan LUAS,” katanya.


Pengarang :