BUDAYARENCANA

Citra wanita Minangkabau dalam Manikam Kalbu

Oleh Mohd Haniff Mohammad Yusoff

Citra wanita tidak asing lagi dalam penelitian, perbahasan, kajian persuratan mahupun kritikan terhadap karya-karya sastera. Norhayati Ab. Rahman dalam tulisannya berjudul “Citra Wanita dalam Epik Asia Barat: Hikayat Amir Hamzah” menjelaskan citra atau imej wanita yang dimaksudkan ialah gambaran wanita sama ada dari perspektif fizikal, peranan atau sebagai tokoh yang menghidupkan dan menggerakkan sesebuah penceritaan.

Pengkaji lain yang meneroka citra wanita ialah Naffi Mat melalui tulisannya “Patriotisme dalam Novel Ratab Rabitah: Perjuangan Seorang Wanita”, Mohd Hanafi Ibrahim menulis “Ruang Wanita dalam Sebuah Syakirah”, Siti Aisah Murad pula menulis “Wanita Contoh, Autonomi, Bijaksana dalam Wajah Seorang Wanita”, dan banyak lagi. Penulisan ini juga memerihalkan citra wanita, namun lebih menjurus kepada citra wanita Minangkabau yang dijelmakan dalam novel remaja Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani.

Novel Manikam Kalbu merupakan novel yang diangkat sebagai pemenang tempat pertama dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain itu, novel yang dihasilkan dengan kajian yang mendalam ini turut diangkat sebagai pemenang kategori novel remaja dalam penganjuran Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2006/2007. Novel ini mengisahkan dua zaman berbeza dan penulis mengangkat ideologi pembuatan busana Melayu yang mewah dengan seni rekaannya, juga falsafahnya.

Secara tidak langsung, penulis turut menyentuh adat Minangkabau yang diamalkan oleh etnik Minangkabau di Sumatera Barat dalam novel ini. Melalui novel yang diteliti, watak Manikam Kalbu secara jelasnya dikisahkan telah ke Negeri Minangkabau untuk mempelajari ilmu busana Melayu daripada Siti Nurqomariah yang digambarkan sebagai seorang wanita yang berkedudukan tinggi di negeri Minangkabau. Hal ini diungkap penulis dalam petikan berikut;

Diberitakan orang bahawa di negeri Minangkabau itu ada seorang wanita berpengaruh, berharta dan berkedudukan tinggi. Wanita itu berumur sekitar tiga puluhan dan merupakan orang yang mahir dengan segala jenis kain. Juga segala yang berkaitan dengan busana Minang. (hlm. 200)

Penulis turut menggambarkan watak Siti Nurqomariah yang juga merupakan anak kepada pemimpin masyarakat yang disegani. Hal ini dihuraikan melalui petikan berikut;

Untuk tuan-tuan yang tidak tahu Siti Nurqomariyah tersebut ialah anak bongsu seorang bundo kanduang (bonda kandung), seorang pemimpin masyarakat yang bukan calang-calang. (hlm. 202)

Dalam masyarakat Minangkabau, bundo kanduang mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat. Hermayulis dalam makalahnya yang berjudul “Peranan dan Kedudukan Perempuan Melayu dalam Masyarakat Matrilineal Minangkabau di Sumatera Barat” menyatakan kedudukan seorang bundo kanduang sebagai istimewa kerana golongan ini berhak sebagai penentu zuriat keturunan, penguasa dalam rumah dan pemilik harta pusaka.

Melalui novel Manikam Kalbu, penulis menekankan keistimewaan wanita yang dimuliakan dalam adat Minangkabau. Tsuyoki Kato melalui bukunya berjudul Adat Minangkabau & Merantau menyatakan kedudukan kaum wanita begitu terjamin kerana mendapat perlindungan melalui adat Minangkabau.

Golongan wanita yang disifatkan sebagai golongan yang lemah dinafikan dalam adat Minangkabau, malah golongan wanita diberikan hak dan kedudukan yang begitu istimewa berbanding golongan lelaki. Penegasan terhadap kewibawaan golongan wanita diperjelaskan dalam petikan berikut;

Adapun tanah Minang itu memang tersangat kayalah dengan adat dan budaya. Orang perempuan di tanah Minang memang dimuliakan kerana menurut orang-orang beradat ini, ibu atau wanita itu lebih berhak membimbing kaum supaya berperibadi mulia dan punya darjat tinggi selain bertanggungjawab menjaga harta keluarga supaya tidak habis sia-sia diperhabis lelaki. (hlm. 2003)

Berdasarkan petikan di atas, dapatlah ditafsirkan golongan wanita diberikan hak dalam memastikan golongan wanita sentiasa terbela dan mempunyai martabat yang selayaknya. Golongan wanita juga diberikan tanggungjawab dalam menguruskan perihal harta keluarga. Hermayulis menjelaskan golongan wanita merupakan pemilik segala harta terutamanya tanah dan segala yang terdapat di atas tanah. Selain itu, golongan wanita berperanan sebagai orang yang menyimpan dan menjaga segala hasil ekonomi sesebuah keluarga.

Sememangnya adat Minangkabau memuliakan kaum wanita seperti agama Islam yang memuliakan wanita. Oleh yang demikian, kaum wanita perlu tertib menjaga keperibadian mereka dan secara tidak langsung menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik. Penulis memerihalkan hal ini dalam petikan berikut;

Wanita juga dimuliakan, kerana sudah ajaran agama, syurga memang di bawah telapak kaki ibu bukan di bawah telapak kaki paduka menteri. Orang perempuan Minang juga menjaga segala istiadat dan menentukan acara jika ada keraian. Justeru tidak timbullah lagi wanita Minang itu berbuat macam-macam dan berperangai tidak senonoh kerana darjat dan martabat sudah terpelihara. Orang perempuan dimuliakan dan ditinggikan kedudukannya kerana menurut masyarakat minang, kalau elok orang perempuan, eloklah masyarakatnya. Demikianlah kalau rosak perempuan, maka rosaklah masyarakatnya. (hlm. 203-204)

Petikan di atas menghuraikan kedudukan wanita yang dimuliakan dalam adat Minangkabau adalah selari dengan ajaran agama Islam yang turut memuliakan kaum wanita. Sebagai individu atau masyarakat yang terdiri daripada golongan wanita, seharusnya golongan ini menonjolkan sifat-sfat yang terpuji agar imej golongan wanita dimuliakan dalam adat Minangkabau dan agama Islam tidak dicemari.

Kesimpulannya, walaupun novel Manikam Kalbu mengungkap tema mengenai busana Melayu, penulis turut menyisip citra wanita Minangkabau dalam novel ini. Imej wanita Minangkabau yang ditonjolkan memperlihatkan golongan wanita begitu dihormati dan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat Minangkabau. Penglibatan watak wanita Minangkabau dalam penulisan novel menyerlahkan lagi keistimewaan adat Minangkabau melalui naratif sastera. Secara tidak langsung, Faisal Tehrani memanfaatkan ruang lingkup penulisan novel sebagai wadah dalam menyampaikan pengetahuan tentang imej wanita Minangkabau kepada pembaca.


Pengarang :