Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

CRS: Tiada saman enam bulan pertama penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Tiada sebarang saman akan dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya yang bermula tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dahulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia…kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30 peratus sahaja pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat…kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Oktober lalu mengumumkan kerajaan akan menguatkuasakan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Loke berkata pihaknya juga mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 10 peratus kepada lima peratus daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS.

Katanya, terdapat juga pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

-BERNAMA


Pengarang :