AGENSISELANGOR

CSR AKRAB-JAKESS erat hubungan bersama masyarakat

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 4 NOV: Seramai 60 orang pegawai dan kakitangan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menyertai Program Kembara & Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) AKRAB ke Port Dickson, hari ini.

Pengerusi AKRAB, Nenney Shuhaidah Shamsuddin berkata program itu bertujuan mendekatkan diri dengan masyarakat, sekali gus mempamerkan imej baik institusi awam.

“Pada edisi kedua ini, peserta terlibat terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari peringkat tinggi hingga rendah.

“Selain daripada melakukan aktiviti amal kepada masyarakat, AKRAB juga berharap program ini dapat mengukuhkan hubungan sesama kakitangan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Konvoi Kembara & CSR AKRAB ke Port Dickson di perkarangan Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini.

Pada masa sama, Nenney berkata, program di Pusat Edu Ecotourism itu turut membabitkan 38 pelajar dan guru Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad, Port Dickson.

“Antara pengisian program ialah ‘treasure hunt’ dan sukaneka sebelum peserta dibawa melawat Muzium Tentera Port Dickson bagi mempelajari sejarah ketenteraan negara.

“Kita berharap program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kakitangan dan institusi awam dengan masyarakat,” katanya.


Pengarang :