AGENSISELANGOR

Dakwah Zakat Street On Wheels dekati masyarakat

SHAH ALAM, 11 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan program dakwah ‘unik’ Zakat Street On Wheels bagi meluaskan kesedaran zakat dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda bertempat di PKNS Uptown Shah Alam di sini, Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M. Yusop berkata, program yang mendapat kerjasama dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat zakat dengan cara mudah dan ringan selain mendekati masyarakat yang tidak berkesempatan untuk datang ke kaunter LZS.

“Melalui pendekatan santai, program ini menampilkan pendakwah dan selebriti tanah air yang sama-sama turun padang memeriahkan acara. Antara aktiviti yang turut diadakan termasuk persembahan artis daripada Daqmie, Andy Flop Poppy, Shamsul Ghau Ghau dan Afad & Friends.

“Turut diadakan kick-off Zakat Di Hati 2019 bagi menanam roh zakat dalam kalangan masyarakat agar kesedaran tentang kewajipan berzakat dapat disampaikan kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan.

Saipolyazan berkata, penganjuran Kempen Zakat Di Hati merupakan kali ke 8 diadakan dan dilihat sebagai medium menyebarluaskan informasi berkaitan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat di Selangor.

Program berkenaan diadakan bermula 1 November hingga 15 Disember ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk masyarakat Islam di Selangor.

Dalam program yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai bantuan zakat berjumlah RM78,122 kepada lima individu di daerah Petaling.


Pengarang :