Program Bank Makanan Malaysia memberi manfaat kepada golongan B40. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dana Bank Makanan Selangor: RM5 juta bantu miskin bandar

SHAH ALAM, 1 NOV: Program Bank Makanan Selangor dilaksanakan di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) bermula 2020 dengan mengkhususkan bantuan kepada keluarga dari miskin bandar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata dana permulaan RM5 juta akan dilancarkan bagi membantu golongan miskin bandar di Selangor.

“Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2,000 keluarga di seluruh negeri dan akan dilaksanakan dengan kerjasama Penggerak Belia Tempatan (PeBT), sukarelawan Team Selangor, Pejabat Khidmat Masyarakat DUN serta pejabat parlimen,” katanya.

Bagi program miskin bandar ataupun Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan menerima RM2.5 juta, Amirudin berkata peruntukan bertambah RM500,000 berbanding tahun lalu.

Beliau berkata program itu dapat meningkatkan taraf ekonomi individu yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan atau pendapatan seisi rumah bawah RM3,000 terutama melibatkan peniaga kecil.

Katanya, pemberian bantuan berbentuk peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan dan hanya diberi kepada pemohon yang berkelayakan sahaja.

“Kesinambungan ini dilakukan bagi memberdayakan warga miskin bandar, dan sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu.

“Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.


Pengarang :