Mesyuarat Penuh MPK di Bilik Mesyuarat Raja Mahadi pada 31 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Dewan Konvensyen Bukit Raja siap Februari 2020

KLANG, 4 NOV: Pembinaan Dewan Konvensyen Bukit Raja yang dijangka siap menjelang Februari tahun hadapan bakal memberi impak besar terhadap Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam usaha menjadikan Klang Utara sebagai kawasan dengan kemudahan awam berkualiti tinggi.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata projek menelan kos RM13.36 juta itu dimulakan sejak 7 Oktober lalu dan mengambil tempoh 72 minggu untuk disiapkan.

Beliau berkata pihaknya sudah melantik perunding kontraktor bagi kerja pembinaan termasuk pengurus yang akan mengawal dan memastikan kelancaran projek.

“Dewan berkeluasan kira-kira 40,400 kaki persegi ini dijangka dapat menampung sehingga 5,000 pengunjung pada satu-satu masa.

Dato’ Mohamad Yasid Bidin

“Ia mengandungi ruang seperti dewan bankuet dengan anggaran keluasan lapan gelanggang badminton, auditorium berkapasiti 100 orang, bilik seminar, kafeteria, kemudahan utiliti serta ruang untuk pra majlis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bil.10/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi di sini baru-baru ini.

Mohamad Yasid berkata reka bentuk dewan berkenaan mengetengahkan ciri-ciri bangunan teknologi hijau bermula daripada lakaran pembinaan, operasi, penyelenggaraan sehingga ke peringkat seterusnya.

“Ini termasuk mengambil kira kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah.

“Kita juga menyasarkan sekurang-kurangnya mendapat pengiktirafan di bawah Indeks Bangunan Hijau (GBI) selaras Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon 2017-2027 MPK,” katanya.


Pengarang :