Rizam Ismail ketika ucapan perbahasan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 4 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Dewan negeri kecoh, ADN kerajaan-pembangkang ‘bertelagah’

SHAH ALAM, 4 NOV: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 pagi ini bermula hangat apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) dari blok kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah.

Situasi tegang yang berlangsung kira-kira lima minit itu bermula apabila Mohd Sany Hamzan (PAKATAN-Taman Templer) mencelah ucapan perbahasan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) yang dianggap berunsur fitnah.

Mohd Sany berkata Rizam perlu membuktikan dakwaan PAKATAN mungkir janji dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ini adalah fitnah kerana dalam manifesto PAKATAN tidak dinyatakan mansuh PTPTN, sebaliknya Sungai Air Tawar perlu tanya kepada sahabat sendiri, Sijangkang kerana PAS yang berjanji hapuskan PTPTN,” katanya.

Turut menghangatkan suasana, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Dato’ Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong).

Bagaimanapun Speaker Ng Sue Lim berjaya mengawal keadaan daripada terus berlarutan dengan mengarahkan semua ADN duduk.

“Sebagai ADN yang sudah empat penggal, Sungai Burong sepatutnya menunjukkan contoh baik,” kata Sue Lim.

Beliau yang juga ADN Sekinchan turut menggesa semua ADN mengelakkan ucapan berunsur fitnah ketika perbahasan.


Pengarang :